KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) — Sime Darby Plantation Bhd (SDP) akan mengalihkan tumpuannya secara berperingkat ke pasaran India dan China dari pasaran Kesatuan Eropah (EU) kerana kedua-dua negara itu menawarkan potensi yang besar kepada syarikat tersebut, kata pengarah urusan kumpulan Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.
Beliau berkata syarikat itu sedang mencari lebih banyak perkongsian dan peluang perniagaan di China dan India dan tidak menolak kemungkinan membekalkan bahan-bahan kepada pembekal produk akhir di kedua-dua negara tersebut.
“Kami juga bekerjasama dengan beberapa pihak lain, tetapi kami percaya India mempunyai potensi yang sangat besar. Jadi kami akan melihat lebih banyak (peluang perniagaan) dengan membentuk perkongsian bersama perniagaan tempatan memandangkan permintaan terhadap minyak sayuran adalah tinggi,” katanya kepada Bernama di luar acara Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) (PIPOC 2023) di sini, hari ini.
Tema PIPOC 2023 “Navigating Uncertainties, Building Resilience” (Menangani Ketidakpastian, Membina Ketahanan) mencerminkan usaha bersepadu industri dalam menangani cabaran global dan berusaha untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
Mohamad Helmy berkata berikutan peraturan ketat EU terhadap minyak sawit, kuantiti eksport Malaysia ke blok perdagangan itu terus menurun sejak beberapa tahun lalu.
“Kami mahu memberi isyarat kepada kerajaan, pengawal selia dan penggubal undang-undang yang berbeza di Eropah. Kami ada pilihan lain. Penggunaan semakin berkurangan dan mengapa kita perlu melakukan banyak usaha hanya untuk memenuhi pasaran yang lebih kecil ini, sedangkan di India, ia semakin berkembang.
“Jumlah eksport yang masuk ke EU boleh dipenuhi dengan mudah oleh syarikat seperti Sime Darby. Kami mempunyai sistem yang canggih untuk mengesan dari mana datangnya minyak. EU mendiskriminasi pekebun kecil memandangkan keluaran ladang kecil lebih sukar untuk dikesan,” katanya.
“Tidak menjadi masalah bagi kami untuk memenuhi apa jua peraturan yang mereka kenakan, walaupun dengan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR). Kami telah mematuhi piawaian yang ketat ini, dan 100 peratus minyak sawit Malaysia yang masuk ke EU diperakui oleh pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO).
Menurut laporan MPOB, India mengekalkan kedudukannya sebagai pasaran eksport minyak sawit terbesar Malaysia pada 2022 untuk tahun kesembilan berturut-turut sejak 2014, dengan 2.89 juta tan atau 18.4 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia, diikuti China sebanyak 1.76 juta tan (11.2 peratus), dan EU sebanyak 1.47 juta tan (9.4 peratus).
Eksport minyak sawit Malaysia ke EU turun 10.1 peratus kepada 1.47 juta tan pada 2022 daripada 1.64 juta tan pada 2021.
Sementara itu, Mohamad Helmy menyebut sebelum ini dalam pembentangannya mengenai “Building Resilience in a Volatility, Uncertainty, Complexity, and Ambiguity (VUCA) World”, bahawa organisasi semestinya boleh menyesuaikan diri dan bersedia menghadapi ketidaktentuan.
“Anda mesti menyediakan organisasi anda untuk mendepani perubahan yang akan berlaku serta masalah yang akan dihadapi. Anda boleh menyesuaikan perubahan ini kerana organisasi itu boleh disesuaikan. Jadi, begitulah cara anda untuk membuat persediaan, tidak ada cara lain. Anda mesti mengekalkan standard tertinggi di luar batasan,” katanya.
Menggunakan COVID-19 sebagai contoh, beliau menyatakan semasa puncak pandemik, kebanyakan negara melindungi rakyat mereka dengan menutup sempadan, yang menjejaskan syarikat.
“Bagi SDP, kami bersiap sedia dengan memastikan tiada sebarang masalah yang tidak boleh ditangani dalam usaha kami mencari penyelesaian… penyelesaian yang boleh memudahkan aktiviti, tugasan atau kerja di ladang kami. Kami telah membelanjakan kira-kira RM50 juta untuk penyelidikan dan pembangunan dan menghasilkan konsep serta prototaip automasi, sebahagian daripadanya telah pun dilaksanakan di lapangan.
“Ini juga berkaitan dengan buruh asing, contohnya, 80 peratus pekerja industri sawit adalah warga asing, dan di SDP, kami kini berada pada tahap 65 peratus dan kami menyasarkan untuk mengurangkan jumlah itu kepada 50 peratus menjelang akhir tahun depan,” katanya.
Secara ringkasnya, cabang hiliran SDP, Sime Darby Oils International Ltd, memeterai kerjasama dengan Guangxi Beibu Gulf International Port Group Ltd, menyaksikan kerjasama itu menyasarkan gabungan jumlah dagangan bagi minyak sawit ditapis dan lelemak kira-kira 500,000 tan setahun.
Bagi India pula, SDP dan Godrej Agrovet Ltd (GAVL) komited terhadap inovasi pertanian dan pengeluaran makanan yang mampan dengan menandatangani perjanjian untuk meningkatkan peranan India sebagai negara pengeluar minyak sayuran utama.
Di bawah perjanjian penting ini, SDP akan membekalkan benih kelapa sawit berkualiti tinggi kepada unit perniagaan kelapa sawit GAVL dan kemudiannya menubuhkan unit pengeluaran benih tercanggih di India. SDP dan GAVL juga mungkin akan meneroka kerjasama lain yang akan membawa manfaat bersama kepada kedua-dua syarikat.
Pada 2024, SDP akan menyediakan India 1.3 juta benih bercambah, yang diperoleh daripada operasinya di tiga negara – Indonesia, Malaysia dan Papua New Guinea.
— BERNAMA