KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) melonjak 40.1 peratus kepada RM536.90 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Sept 2023 berbanding RM383.21 juta yang dicatatkan semasa tahun kewangan 2022.
Pendapatan meningkat 11.9 peratus kepada RM5.0 bilion daripada RM4.47 bilion sebelumnya, selepas pasaran memulih serta strategi pengurusan harga yang dilaksanakan sejak tahun lepas mula berkuat kuasa, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Hasil eksport kumpulan melepasi paras RM1 bilion pada tahun kewangan 2023 (tahun kewangan 2022: RM800 juta).
Kumpulan itu juga mendapat manfaat daripada aliran pendapatan yang diperluas berikutan pengambilalihan Cocoaland Holdings Bhd pada 4 Nov 2022.
Keuntungan operasi kumpulan untuk tahun kewangan menokok kepada RM642.9 juta berikutan perolehan yang lebih tinggi dan item bukan operasi sekali sahaja (membabitkan keuntungan pengukuran semula 27.62 peratus kepentingan ekuiti yang sebelum ini dipegang di Cocoaland sebelum penswastaan termasuk satu lagi item sekali sahaja).
Tidak termasuk item bukan operasi sekali sahaja, keuntungan operasi kumpulan terlaras naik sebanyak 26.8 peratus kepada RM592.1 juta disokong oleh tumpuan bersepadu pada peningkatan margin, kecemerlangan operasi, pengurusan rantaian bekalan dan inisiatif kemampanan.
“Usaha ini berjaya mengimbangi kesan kenaikan kos input serta perbelanjaan tenaga, seterusnya, menyumbang kepada keuntungan keseluruhan kumpulan,” kata F&N.
Sementara itu, syarikat tersebut melaporkan keuntungan bersih berjumlah RM137.56 juta bagi suku keempat berbanding RM98.89 juta yang catatkan setahun sebelumnya.
Hasil bertambah 9.4 peratus kepada RM1.24 bilion daripada RM1.14 bilion, didorong oleh momentum jualan yang mampan dalam F&B Malaysia serta eksport yang lebih tinggi, sumbangan daripada Cocoaland (termasuk dalam segmen F&B Malaysia ) dan dibantu oleh kadar pertukaran asing yang menggalakkan daripada baht Thai yang lebih kukuh.
Pengerusi Tengku Syed Badarudin Jamalullail melalui satu kenyataan berasingan berkata lembaga itu mengesyorkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 33.0 sen sesaham pada tahun kewangan 2023 (tahun kewangan 2022: 33.0 sen sesaham) dan dividen khas tambahan sebanyak 17.0 sen sesaham bagi memperingati ulang tahun ke-140 kumpulan.
Tertakluk kepada kelulusan pemegang saham menjelang Mesyuarat Agung Tahunan yang akan datang, jumlah dividen untuk tahun tersebut akan mencecah 77.0 sen sesaham (tahun kewangan 2022: 60.0 sen sesaham), menjadikan jumlah pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2023 kepada RM282.4 juta (tahun kewangan 2022: RM220.1 juta), iaitu 28.3 peratus lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.
“Melalui warisan kami yang agak kaya ini, kami menjangkakan peluang baharu dan berharap untuk memajukan tonggak makanan halal kumpulan selain menyokong agenda keselamatan makanan negara dengan ladang tenusu kami.
“Ini hanyalah beberapa perkembangan menarik di hadapan sambil kami terus mengejar kecemerlangan sebagai syarikat makanan dan minuman yang mampan,” tambahnya lagi.
— BERNAMA




