KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) — Berjaya Food Bhd (BFood) akan terus menawarkan lebih banyak produk vegan yang inovatif pada masa hadapan, dipacu oleh trend pengambilan makanan berasaskan tumbuhan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pengerusi, Datuk Seri Tunku Shazuddin Ariff berkata pengguna dan perniagaan Malaysia yakin mengenai prospek ekonomi negara, dengan pengembangan menyeluruh dilihat merentas industri, permintaan domestik yang mampan dan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik.
“Kami telah melancarkan produk vegan seperti burrito dan taco dari restoran berasaskan tumbuhan kami SALA, aiskrim tanpa tenusu dan telur dari Berjaya Kelava Sdn Bhd serta produk berasaskan soya dari Berjaya Jollibean (M) Sdn Bhd.
“Selain itu, beberapa jenama sedia ada, seperti Starbucks, telah menambah pilihan berasaskan tumbuhan yang lebih sihat dalam menu mereka,” katanya dalam laporan tahunan 2023 syarikat itu.
Tunku Shazuddin berkata anak syarikat kumpulan itu, Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd (BStarbucks), yang mengendalikan semua cawangan Starbucks di negara ini, telah mencatatkan tahap kecekapan yang tidak pernah dicapai sebelum ini dalam usaha promosi dan konsistensi jenamanya.
“Ini mendorong syarikat itu memenangi enam anugerah pada 2023, termasuk Anugerah Jenama Putra, The Brand Laureate, Anugerah CSR Malaysia 2023, Anugerah Keusahawanan Asia Pasifik (APE), Anugerah Asia Runcit 2023 (Singapura), dan Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2023,” katanya.
Beliau berkata usaha promosi oleh BStarbucks, seperti menawarkan menu hidangan perayaan dan menjalinkan perkongsian dengan jenama tempatan dan global dalam kerjasama eksklusif, telah menarik pelanggan baharu dan meningkatkan trafik pengunjung ke kedai.
Beliau berkata komitmen BFood terhadap konsistensi jenama telah terbukti dalam penggunaan bahan berkualiti tinggi, piawaian perkhidmatan yang konsisten, serta komitmennya terhadap kemampanan telah membina kepercayaan dan kesetiaan dalam kalangan pelanggan.
“Syarikat berusaha untuk mengurangkan kos pembuatan di samping meningkatkan kecekapan operasi bagi menambah keberkesanan operasi perniagaan,” katanya.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023, perolehan kumpulan meningkat kepada RM1.12 bilion berbanding RM997.76 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
— BERNAMA