ALOR GAJAH, 20 Okt (Bernama) — Kilang pembuatan kenderaan cekap tenaga (EEV) dan kenderaan elektrik (EV) pertama di negara ini bakal dibangunkan di Taman Perindustrian HICOM Pegoh dengan nilai pelaburan melebihi RM100 juta.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kilang dibangunkan EP Manufacturing Bhd (EPMB) itu dijangka mengeluarkan sehingga 30,000 kenderaan EEV dan EV setahun bagi fasa pertama selepas kilang tersebut siap dibina pada akhir tahun depan.
Beliau berkata kilang itu akan menawarkan sebanyak 1,000 peluang pekerjaan baharu dalam bidang automotif untuk penduduk tempatan khususnya penduduk Pegoh sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negeri itu dan pada masa sama membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida pada masa depan.
“Kejayaan ini bukan sahaja memberi makna yang besar kepada EPMB malah ia menjadi indikator utama kerajaan negeri kerana kami amat komited untuk membangunkan projek pelaburan berimpak dan berteknologi tinggi seperti projek automotif melibatkan pembinaan kilang kenderaan EEV dan EV ini.
“Usaha ini sejajar dengan hala tuju kerajaan negeri yang sentiasa terbuka untuk menarik kemasukan lebih banyak pelaburan baharu ke Melaka melalui dasar mesra pelabur dan mesra perniagaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Kilang Kenderaan Baharu EPMB.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPMB Ahmad Razlan Mohamed.
Selain itu, Ab Rauf berkata EPMB disaran bekerjasama dengan 23 institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negeri itu dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir dan separa mahir bagi keperluan tenga kerja kilang berkenaan.
Beliau berkata kerjasama dengan institusi TVET berkenaan juga dapat memperkasakan lagi bidang penyelidikan dan pembangunan berkaitan bidang automotif di negeri dan negara ini.
Sementara itu, Ahmad Razlan ketika berucap pada majlis itu berkata pembangunan kilang berkenaan di kawasan seluas hampir 17 hektar tersebut merupakan langkah permulaan EPMB untuk memacu industri kenderaan cekap tenaga dan kenderaan elektrik di negara ini pada masa hadapan.
Beliau berkata pembinaan kilang itu melibatkan empat fasa dengan fasa satu dijangka beroperasi pada tahun hadapan.
— BERNAMA