KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) — Tan Sri Lim Kang Hoo, atas kapasiti peribadinya sebagai pemegang saham utama Ekovest Bhd, Knusford Bhd, Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan Iskandar Waterfront City Bhd (IWCity) telah mencadangkan penyusunan semula, rasionalisasi serta penggabungan yang melibatkan syarikat-syarikat tersebut.
Ekovest dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata cadangan Lim bertujuan untuk menyelaraskan, menyusun semula, merasionalkan dan menggabungkan perniagaan termasuk aset yang dimiliki serta dikawal oleh beliau dan individu yang bertindak secara bersama, melalui pelbagai syarikat tersenarai dan tidak tersenarai selain bertujuan menyatukan pegangan saham langsungnya dalam pelbagai syarikat.
Ekovest juga memiliki 62 peratus PLS Plantation Bhd.
“Cadangan itu akan membolehkan kumpulan Ekovest yang diperbesarkan untuk menjadi salah satu konglomerat perkongsian awam-swasta yang tersenarai di Malaysia yang terlibat dalam pembinaan, pembangunan hartanah, infrastruktur dan perladangan.
“Cadangan-cadangan itu bertujuan untuk mengurangkan sebarang potensi konflik kepentingan dan spekulasi berkaitan penjajaran kepentingan Lim, sebagai pemegang saham utama syarikat.
“Ia juga akan melupuskan banyak urus niaga pihak berkaitan berulang sedia ada selain kebimbangan harga pindahan di kalangan syarikat yang bergerak ke hadapan,” jelas satu kenyataan media lain yang dikeluarkan bagi pihak Lim.
Cadangan pertama melibatkan langkah penggabungan perniagaan pembinaan Ekovest dan Knusford, yang mana Knusford memperoleh keseluruhan modal saham terbitan Ekovest Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Ekovest.
Cadangan kedua menyentuh mengenai cadangan pemerolehan oleh Ekovest membabitkan tiga bidang tanah seluas 6.87 hektar (17 ekar) terletak di Johor Bahru, yang berpotensi untuk dimajukan sebagai dua pembangunan berorientasikan transit (TOD) di sepanjang jajaran bagi Sistem Transit Cepat Johor Bahru–Singapura.
Cadangan ketiga merangkumi pemerolehan oleh Ekovest sekurang-kurangnya 51 peratus atau lebih daripada modal saham terbitan Credence Resources Sdn Bhd, yang kini memegang 63.13 peratus kepentingan ekuiti dalam IWH, yang seterusnya memegang 34.29 peratus kepentingan ekuiti dalam IWCity .
Cadangan keempat ialah langkah penggabungan hartanah serta aset IWH dan IWCity di bawah satu entiti melalui pemerolehan IWCity ke atas keseluruhan modal saham terbitan semua subsidiari langsung IWH yang sedia ada.
— BERNAMA