KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) — VS Industry Bhd mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya kepada RM66.08 juta bagi suku keempat berakhir 31 Julai, 2023 berbanding RM35.59 juta sebelumnya.
Hasil bagi suku dalam tinjauan juga meningkat kepada RM1.16 bilion daripada RM1 bilion tahun lepas, peningkatan sebanyak 15.7 peratus atau RM157.3 juta, terutamanya disebabkan oleh pesanan jualan yang lebih tinggi daripada pelanggan sedia ada.
Keuntungan sebelum cukai pula meningkat sebanyak RM55.9 juta kepada RM94.4 juta dalam tempoh yang sama.
Sejajar dengan prestasi terbaik itu, VS mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM245.6 juta untuk tahun kewangan 2023 berbanding RM205.8 juta tahun lepas.
“Ini diterjemahkan kepada pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 19.4 peratus berikutan permintaan yang lebih tinggi ditambah dengan ketiadaan rosot nilai pelaburan dalam syarikat bersekutu dan kerugian rosot nilai dalam loji dan peralatan yang diiktiraf pada tahun sebelumnya,” kata penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat tersenarai di pasaran utama itu berkata persekitaran operasi untuk perniagaan di Malaysia kekal mencabar disebabkan struktur kos yang meningkat berikutan peningkatan dalam perbelanjaan buruh, utiliti dan pembiayaan.
“Dari segi positifnya, kami telah mengalami peningkatan dalam pesanan jualan sepanjang suku yang lalu, dan kami menjangkakan momentum ini akan berterusan pada tahun kewangan akan datang berdasarkan komunikasi kami dengan pelanggan, yang disokong oleh pelancaran model-model baharu.
“Pada masa yang sama, pihak pengurusan kekal peka dengan cabaran-cabaran yang berpotensi dan akan terus berhemat bagi memastikan operasi yang lebih kemas dan cekap. Ini disokong lagi oleh kunci kira-kira kami dengan penggearan bersih yang rendah, yang menjadikan kami lebih tangkas dan berfungsi sebagai penampan kewangan yang kukuh untuk mengemudi daripada sebarang kemungkinan yang tidak dijangka,” katanya.
Selaras dengan amalan pemberian dividen suku tahunannya, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 0.5 sen sesaham untuk suku dalam tinjauan.
Ia juga telah mencadangkan dividen akhir sebanyak 0.5 sen sesaham, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan akan datang.
“Jumlah dividen sesaham untuk tahun kewangan semasa berjumlah 2.2 sen, mewakili pembayaran 45.9 peratus berdasarkan pendapatan sesaham tahun kewangan 2023 sebanyak 4.79 sen,” katanya.
Kumpulan itu mempunyai dasar dividen sebanyak 40 peratus pembayaran keuntungan bersih, tambahnya.
— BERNAMA