KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Anak syarikat milik penuh tidak langsung Dialog Group Bhd, iDialog Malic Acid Sdn Bhd, akan membina, memiliki dan mengendalikan kilang asid malik di Pahang, dengan nilai pelaburan kira-kira US$80 juta (US$1=RM4.685).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata kilang berkenaan yang terletak di Gebeng, berdekatan dengan Pelabuhan Kuantan, akan mengeluarkan kapasiti tahunan kira-kira 12,000 tan asid malik.
Kilang itu terletak dalam Kawasan Kimia Bersepadu yang dikendalikan oleh BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd.
“Ini merupakan usaha pertama Dialog dalam penghasilan bahan kimia khusus dan bertindak sebagai pemangkin kepada kumpulan untuk mengembangkan jejaknya dalam sektor ini dengan menghasilkan produk kimia khas bernilai tinggi,” katanya.
Asid malik ialah bahan kimia khusus yang digunakan terutamanya sebagai bahan tambahan makanan dalam industri makanan dan minuman.
“Cadangan pembangunan kilang asid malik Dialog di Malaysia bukan sahaja menyokong permintaan yang semakin meningkat di Asia Tenggara tetapi juga memanfaatkan peluang perniagaan yang terhasil daripada peningkatan permintaan asid malik di seluruh dunia.
“Kilang ini akan membekalkan asid malik yang diperlukan kepada pelanggan dan pengedar utama di Malaysia dan luar negara. Bahan mentah untuk pengeluaran asid malik akan dibekalkan oleh pembekal tempatan,” katanya.
Dialog berkata dengan kewujudan kilang itu ia akan mengembangkan lagi perniagaan hilirannya, yang merupakan tambahan kepada usaha sedia ada dalam menghasilkan pelet PET kitar semula gred makanan.
“Kedua-dua projek itu mewakili pelaburan yang besar untuk mengukuhkan sektor hiliran dan mampan Dialog yang menjana pendapatan tambahan berulang jangka panjang kepada kumpulan,” katanya.
Kumpulan itu berkata ia akan kekal fokus dalam meningkatkan kepelbagaian, merentas sektor tenaga huluan, pertengahan dan hiliran, serta sektor mampan dan boleh diperbaharui untuk meletakkan kumpulan secara strategik bagi mengharungi kitaran ekonomi yang berbeza.
“Projek itu juga akan memacu pembangunan sosio-ekonomi wilayah ekonomi Pantai Timur dengan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.
— BERNAMA