KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Southmax Sdn Bhd (SSB), anak syarikat milik 65 peratus ITMAX System Bhd, menerima surat anugerah (LOA) daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk penyediaan perkhidmatan pengawasan video bernilai RM105.32 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ITMAX berkata perkhidmatan itu termasuk pusat arahan pintar dan sistem kamera litar tertutup dengan ciri kecerdasan buatan berasaskan langganan perkhidmatan di MBJB untuk tempoh 180 bulan bermula dari 20 Sept 2023 hingga 19 Sept 2038 .
Ia berkata di bawah terma LOA, SSB dikehendaki menyertakan bon prestasi sebanyak RM175,530 dengan tempoh sah bermula dari 20 Sept 2023 hingga 19 Sept 2039.
Ini termasuk polisi untuk tempoh bermula dari 20 Sept 2023 hingga 19 Sept 2038, iaitu polisi insurans liabiliti awam berjumlah RM2 juta, polisi insurans kerja RM105.32 juta dan polisi pampasan pekerja berjumlah RM21.06 juta.
Selain itu, SSB juga diperlukan untuk melaksana program latihan dan pendidikan profesional untuk program usahawan sedia bekerja (PROTÉGÉ-RTW) yang semakin berkembang seperti yang ditetapkan oleh kerajaan berdasarkan jumlah kontrak dengan bilangan minimum peserta 43 orang.
“MBJB akan mengenakan Ganti rugi Tertentu dan Ditetapkan sebanyak RM23,083 sehari ke atas SSB kerana kegagalan atau kelewatan dalam penyediaan perkhidmatan,” katanya.
— BERNAMA




