KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) — Lapangan ujian pusat data hijau dan program latihan berskala besar akan diwujudkan di Sarawak melalui kerjasama melibatkan penyedia penyelesaian tenaga bersih Solarvest Holdings Bhd, anak syarikat Yayasan Sarawak Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS), Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan GreenBay CES Sdn Bhd.
Anak syarikat Solarvest, Solarvest Borneo Sdn Bhd hari ini menandatangani memorandum persefahaman dengan tiga syarikat lain di Beijing, China, dalam usaha menggiatkan industri pusat data hijau berskala besar di rantau Borneo.
Dalam satu kenyataan bersama, Solarvest berkata kerjasama itu akan menyatukan kemahiran dan bidang pengkhususan pihak masing-masing.
Penubuhan lapangan ujian pusat data hijau dan program latihan berskala besar itu dijangka merangsang kerjasama penyelidikan dan pembangunan serta penciptaan harta intelek dalam penyelesaian tenaga bersih, kata kenyataan itu.
Solarvest Borneo akan menyumbang kepakarannya dalam penyelesaian tenaga hijau dan kecekapan tenaga, dan CENTEXS akan menyediakan lapangan ujian khusus untuk latihan operasi pusat data praktikal.
Sementara itu, Huawei Malaysia akan memanfaatkan pengetahuan teknologinya dalam pengkomputeran awan, risikan perusahaan, tenaga boleh diperbaharui dan pusat data untuk menyokong keperluan latihan program tersebut.
Bagi melengkapkan usaha ini, GreenBay akan meminjamkan kepakarannya dalam membina pusat data masa hadapan dengan kos yang berpatutan, katanya.
“Menerusi kerjasama ini, empat pihak menyasarkan untuk mempromosikan tanggungjawab alam sekitar dengan mewujudkan pusat data berskala besar yang mengurangkan jejak karbon dan mengoptimumkan penggunaan sumber.
“Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kemampanan, kebolehpercayaan dan kecekapan perkhidmatan data,” kata kenyataan itu.
— BERNAMA
 
			 
		    




