KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia dibuka rendah walaupun Wall Street mencatatkan peningkatan pada Jumaat.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.34 mata kepada 1,444.07 daripada 1,444.41 pada Jumaat lepas.
Indeks utama dibuka rendah 0.74 mata kepada 1,443.67.
Bagaimanapun, pasaran secara menyeluruh positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 224 berbanding 161 manakala 287 kaunter tidak berubah, 1,720 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi pada Jumaat, sebahagian besarnya berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah susulan jualan besar-besaran selama tiga hari.
“Kami menjangka aktiviti belian saham pada harga rendah akan kembali hari ini, dengan FBM KLCI akan diniagakan dalam julat 1,440-1,450.
“Bagaimanapun, sebahagian cabaran untuk sektor perladangan akan berterusan susulan penurunan niaga hadapan minyak sawit mentah kepada paras di bawah RM4,000 satu tan,” katanya kepada Bernama, sambil menambah pelabur dijangka memilih saham perbankan berikutan jualan besar-besaran pada Jumaat lepas.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals menambah satu sen kepada RM6.91, Maybank dan CIMB, masing-masing merosot satu sen kepada RM9.01 dan RM5.60, Tenaga Nasional susut 17 sen kepada RM9.80 dan Public Bank tidak berubah pada RM4.08.
Daripada saham aktif, Iskandar Waterfront naik 4.5 sen kepada 64 sen, UEM Sunrise meningkat satu sen kepada 68 sen dan RGB International merosot 2.5 sen kepada 33.5 sen manakala TWL Holdings dan Tanco, masing-masing tidak berubah pada 3.5 sen dan 55.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 4.87 mata kepada 10,667.14, Indeks FBMT 100 menokok 3.23 mata kepada 10,346.44, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 8.51 mata kepada 10,897.48 dan Indeks FBM 70 menambah 28.18 mata kepada 14,154.49 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 14.62 mata kepada 5,260.28.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 7.41 mata kepada 831.56, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.04 mata kepada 169.07, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 4.83 mata kepada 16,195.52 dan Indeks Perladangan susut 10.19 mata kepada 6,948.64.
— BERNAMA