KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — MISC Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2023, melonjak kepada RM452.90 juta berbanding kerugian bersih RM19.10 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Perolehan hasil bagi tempoh di bawah kajian itu turut meningkat 10.5 peratus kepada RM3.55 bilion daripada RM3.21 bilion sebelum ini, disokong oleh prestasi positif dalam segmen aset dan penyelesaian gas; petroleum dan produk perkapalan serta marin dan kejuruteraan berat, kata syarikat penyedia perkhidmatan dan penyelesaian maritim berkaitan tenaga dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Keuntungan pengoperasian kumpulan juga menokok 15.3 peratus atau RM70.4 juta kepada RM531.3 juta berbanding RM460.9 juta sebelum ini.
MISC berkata perolehan hasil segmen aset dan penyelesaian gas naik 1.2 peratus kepada RM771.8 juta bagi suku kedua berbanding RM762.5 juta sebelum ini, didorong terutamanya oleh kesan pertukaran ringgit yang susut nilai berbanding dolar Amerika Syarikat dalam suku semasa.
Selain itu, perolehan hasil segmen petroleum dan produk perkapalannya dalam suku semasa menokok 7.6 peratus atau RM1.22 bilion daripada RM1.13 bilion sebelumnya, disumbangkan oleh kadar tambang muatan yang lebih tinggi.
Segmen marin dan kejutureaan berat pula mencatat perolehan hasil melebihi 100 peratus pada RM1.06 bilion dalam suku kedua 2023 daripada RM400.6 juta sebelum ini yang dipacu terutamanya oleh peningkatan hasil daripada projek-projek kejuruteraan berat ketika ini.
Bagaimanapun, segmen perniagaan luar pesisirnya susut sebanyak 47.6 peratus kepada RM466.7 juta bagi suku berkenaan daripada RM890.4 juta sebelum ini berikutan pengiktirafan hasil lebih rendah daripada penukaran unit pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FSPO) susulan kemajuan projek dalam suku semasa.
MISC juga menyifatkan prospek lebih positif dalam tempoh terdekat ini berikutan peningkatan permintaan gas asli cecair (LNG) berikutan harga lebih rendah, usaha penyimpanan bagi keperluan musim sejuk dan kekurangan inventori dalam musim panas akibat gelombang panas.
“Berdasarkan keadaan itu, segmen aset dan penyelesaian gas akan terus meninjau peluang pertumbuhan dengan pendapatan operasi terus kukuh, disokong oleh portfolio semasa membabitkan carter bagi jangka panjang,” katanya.
Bagi segmen marin dan kejuruteraan berat, MISC berkata faktor kenaikan harga minyak yang berterusan dijangkakan terus menyokong peningkatan perbelanjaan modal (capex) manakala kepentingan ketara alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang akan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan dalam tenaga boleh baharu bagi subsegmen kejuruteraan berat.
“Bagaimanapun, pelaksanaan projek yang sedang dijalankan kekal mencabar berikutan lonjakan harga bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan yang meningkatkan kos serta menjejaskan jadual terbabit,” katanya.
Sementara itu, Lembaga Pengarah telah meluluskan dividen kedua yang dikecualikan daripada cukai sebanyak 10.0 sen sesaham bagi tahun kewangan 2023 yang berjumlah RM446.4 juta.
Cadangan dividen itu akan dibayar pada 21 Sept, 2023 kepada para pemegang saham yang berdaftar di akhir hari perniagaan pada 12 Sept, 2023.
— BERNAMA




