KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — Boustead Plantations Bhd mencatatkan kerugian bersih RM5.52 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2023 (S2 TK2023) berbanding keuntungan bersih RM73.22 juta setahun lalu disebabkan penurunan signifikan harga produk sawit.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan perladangan itu berkata hasilnya turun kepada RM201.23 juta daripada RM348.96 juta pada suku yang sama sebelumnya.
cPurata harga minyak sawit mentah (MSM) bagi S2 TK2023 ialah pada RM3,926 setan, yang mencerminkan penurunan sebanyak RM2,685 setan (41 peratus) daripada harga purata RM6,611 setan yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.
“Begitu juga dengan harga purata isirung sawit (PK) yang mengalami penurunan sebanyak 43 peratus, iaitu pada RM2,108 setan,” katanya.
Bagi separuh pertama 2023, syarikat itu mencatatkan kerugian bersih RM304,000, manakala hasil bagi tempoh itu menurun kepada RM400.98 juta.
Mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia menjangkakan prestasi TK2023 akan kekal mencabar, memandangkan trend harga MSM dan prestasi pengeluaran tanaman.
“Pengeluaran dijangka meningkat pada suku ketiga (S3) berikutan trend bermusim dan kekurangan buruh yang diatasi.
“Harga sawit mungkin kekal stabil dalam jangka pendek berikutan sentimen positif susulan kenaikan harga minyak mentah dan ketidaktentuan terhadap pengeluaran minyak campuran,” katanya.
— BERNAMA