KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih Genting Plantations Bhd merosot kepada RM70.97 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 daripada RM223.43 juta pada suku tahun sama pada tahun lepas berikutan kerugian dalam segmen pembuatan hiliran.
Perolehan berkurangan kepada RM805.95 juta daripada RM1.05 bilion sebelum ini berikutan harga produk sawit yang rendah.
“Harga minyak sawit mentah (MSM) rendah pada suku tahun tersebut dalam persekitaran eksport yang lembap berikutan penurunan harga minyak bunga matahari dan soya, yang berada di bawah tekanan disebabkan hasil tuaian yang luar biasa banyaknya, selain prospek ekonomi yang kurang menggalakkan dalam beberapa ekonomi utama mendorong pembeli untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk minyak sawit.
“Sehubungan itu, harga MSM merosot di bawah RM3,400 satu tan pada awal Jun,” menurut Genting Plantations dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagaimanapun, kumpulan perladangan itu berkata harga rendah dan kebimbangan mengenai El Nino yang akan berlaku telah mendorong minat belian, membantu harga MSM untuk pulih bagi mengakhiri suku tahun tersebut melebihi RM3,700 satu tan.
Sehubungan itu, ia mencapai harga MSM yang rendah pada suku kedua 2023 dan separuh pertama 2023 berbanding harga tinggi yang dicapai dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Menurut Genting Plantations, pengeluaran tandan buah segar pada suku kedua 2023 dan separuh pertama 2023 naik tahun ke tahun didorong oleh pengeluaran yang meningkat di Indonesia, disebabkan profil umur yang menggalakkan dan kawasan penuaian yang luas.
Dividen interim satu peringkat sebanyak 8 sen sesaham biasa telah diisytiharkan perlu dibayar pada 23 Sept 2023.
Mengenai prospek, kumpulan itu menjangka pertumbuhan sederhana tahun ke tahun dalam pengeluaran tandan buah segar pada separuh kedua 2023, didorong oleh profil umur yang menggalakkan dan kawasan penuaian yang luas di Indonesia.
Bagaimanapun, katanya aktiviti penanaman semula yang berterusan di Malaysia dijangka memberi impak sederhana terhadap pertumbuhan pengeluaran kumpulan.
Selain itu, katanya potensi kejadian El Nino juga boleh memberi impak kepada pengeluaran kumpulan pada separuh kedua 2023, tahapnya bergantung kepada masa dan keseriusan fenomena itu.
— BERNAMA




