KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih Parkson Holdings Bhd pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2023, meningkat kepada RM19.34 juta berbanding kerugian bersih RM31.13 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada 2022.
Hasil meningkat kepada RM832.17 juta daripada RM714.50 juta sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Pada Suku Kedua 2023, peningkatan perbelanjaan pengguna di Malaysia semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri pada April 2023 dan sumbangan pendapatan sewa daripada hartanah pelaburan di China telah mengurangkan sebahagian daripada kesan sentimen lemah pengguna di bahagian peruncittan kumpulan,” katanya.
Sementara itu, bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun, 2023, operasi peruncitan kumpulan di Malaysia mencatatkan kenaikan hasil sebanyak sembilan peratus kepada RM400 juta, susulan pertambahan jumlah pengunjung ke gedung apabila sekatan pergerakan ditarik balik sepenuhnya.
“Semasa suku tersebut, Parkson Malaysia menutup Parkson The Spring Kuching dan Parkson Nu Sentral berikutan tamatnya komitmen pajakan mereka,” kata Parkson sambil menambah setakat 30 Jun, 2023, kumpulan itu memiliki 36 gedung Parkson di Malaysia.
Kumpulan itu juga memiliki 43 gedung di 29 bandar di seluruh China dan sebuah gedung di Vietnam.
Mengenai prospek masa depan, Parkson berkata operasi peruncitan kumpulan dijangka mengalami aliran trafik rendah berikutan ketiadaan festival utama, walaupun pertambahan kedatangan pengunjung ke gedung susulan penyambungan semula perjalanan rentas sempadan dan wilayah di China bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2023.
“Kumpulan akan terus menumpu meningkatkan produktiviti gedung dan melaksanakan strategi penambahbaikan kos serta mempelbagaikan sumber pendapatan bagi merebut peluang di samping meningkatkan pembangunan mampan jangka panjang perniagaan,” katanya.
— BERNAMA