KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih AEON Co (M) Bhd merosot kepada RM30.19 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 daripada RM47.28 juta pada suku tahun sama pada tahun lepas berikutan aktiviti membeli-belah yang dilihat dalam tempoh tersebut suram.
Perolehannya turut merosot 5.7 peratus kepada RM1.03 bilion pada suku kedua berbanding RM1.10 bilion sebelum ini, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
“Perniagaan runcit mencatatkan perolehan sebanyak RM864.0 juta, berkurangan 7.9 peratus berbanding RM938.3 juta pada suku tahun sama yang didorong oleh permintaan meningkat dalam peralihan kepada tempoh fasa endemik.
“Bagaimanapun, perolehan daripada segmen perkhidmatan pengurusan hartanah, sebanyak RM169.0 juta, naik 7.5 peratus berbanding RM157.2 juta pada suku tahun sama berikutan kadar penghunian yang lebih baik,” katanya.
Dalam kenyataan media secara berasingan, Pengarah Urusan Keiji Ono mengakui cabaran yang dihadapi pada separuh pertama tahun ini, menyatakan bahawa AEON telah mengalami “tempoh unik disebabkan permintaan meningkat, yang menyumbang kepada lonjakan pendapatan yang ketara” dalam tempoh yang sama sebelum ini.
“Momentum ini turut didorong oleh pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada April tahun lepas yang mendorong pelanggan untuk mempercepatkan keputusan pembelian mereka.
“Permintaan luar biasa yang kami alami dalam tempoh sebelumnya telah berkurangan, dan pendapatan kami kini sejajar dengan trend pasaran yang lebih tipikal,” katanya.
Selain itu, katanya ekonomi global kekal mencabar berikutan situasi antarabangsa yang tidak stabil yang menjejaskan rantaian bekalan dan penilaian mata wang.
“Walaupun perjalanan antarabangsa dan kadar pekerjaan yang bertambah baik telah memberikan sokongan kepada ekonomi tempatan, ancaman inflasi terhadap komoditi penting berpotensi mengekang perbelanjaan domestik.
“Walaupun kadar pertumbuhan kembali normal, kami berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan kekuatan kami, menyesuaikan dengan dinamik pasaran yang berubah-ubah dan terus menyasarkan peluang pertumbuhan yang mampan,” katanya.
— BERNAMA




