KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih Hibiscus Petroleum Bhd bagi suku keempat berakhir 30 Jun, 2023 berkurangan kepada RM123.28 juta daripada RM255.39 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Sementara itu, perolehan bagi suku berkenaan susut kepada RM503.60 daripada RM868.37 sebelumnya.
Bagi asas tahun ke tahun, keuntungan bersih syarikat juga merosot kepada RM400.52 juta pada tahun kewangan 2023 daripada RM652.94 juta pada tahun kewangan 2022, manakala perolehan meningkat kepada RM2.34 bilion daripada RM1.70 bilion sebelumnya.
Syarikat pengeluaran dan eksplorasi minyak dan gas itu dalam makluman Bursa Malaysia hari ini berkata purata kadar pengeluaran minyak bersih pada suku keempat 2023 lebih rendah sedikit daripada jangkaan pada 4,465 tong sehari, berikutan permulaan aktiviti penyelenggaraan yang dirancang.
Bagi tahun kewangan 2023, kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 0.50 sen sesaham biasa, dengan sejumlah 2.0 sen diisytiharkan setakat ini.
Secara keseluruhan, kumpulan itu berkata syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan rekod prestasi operasinya di Malaysia dan United Kingdom, dan terus fokus untuk memberikan prestasi optimum dalam persekitaran harga minyak yang kukuh.
— BERNAMA