KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih Sime Darby Plantation Bhd (SDP) susut 53 peratus kepada RM380 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 berbanding RM812 juta dalam tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh keuntungan berulang serta tidak berulang yang lebih rendah sebelum faedah dan cukai termasuk kos kewangan yang lebih tinggi.
Pendapatan susut 23 peratus kepada RM4.31 bilion pada suku kedua daripada RM5.59 bilion sebelum ini, kata SDP dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kos kewangan meningkat kepada RM49 juta disebabkan oleh kadar faedah yang lebih tinggi berikutan kenaikan kadar pinjaman penanda aras tetapi telah dikurangkan sebahagiannya oleh pinjaman yang lebih rendah.
Kadar faedah purata ialah 5.1 peratus setahun berbanding 2.4 peratus setahun yang dicatatkan semasa suku yang sama tahun lalu.
Kadar cukai efektif kumpulan bagi suku tersebut ialah 12 peratus disebabkan oleh keuntungan daripada pelupusan tanah di Malaysia, yang tertakluk kepada kadar yang lebih rendah sebanyak 10 peratus di bawah Cukai Keuntungan Harta Tanah.
Pada asas enam bulan, keuntungan bersih untuk separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 merosot kepada RM449 juta daripada RM1.53 bilion dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Syarikat itu berkata kemerosotan keuntungan kumpulan dari tahun ke tahun adalah disebabkan oleh purata realisasi harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirong sawit yang agak lemah berbanding tahap kemuncak yang dinikmati pada tahun sebelumnya.
“Ini diburukkan lagi dengan perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi, terutamanya daripada kenaikan harga baja dan kos buruh khususnya di Malaysia yang mana kami sedang memulihkan operasi,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Pada suku kedua, harga MSM yang direalisasikan merosot 28 peratus dari tahun ke tahun kepada purata RM3,765 setiap tan metrik (MT) berbanding RM5,213 setiap MT dalam tempoh yang sama sebelum ini.
Purata harga isirong sawit yang direalisasikan jatuh sebanyak 47 peratus dari tahun ke tahun kepada RM1,767 setiap MT daripada RM3,339 setiap MT, terjejas oleh penurunan dalam permintaan daripada industri kimia oleo.
Pengeluaran keseluruhan tandan buah segar kumpulan menurun dua peratus dari tahun ke tahun berikutan kejatuhan enam peratus dalam pengeluaran tandan buah segar di Indonesia.
“Pengurangan ini berpunca daripada program penanaman semula yang dipercepatkan kumpulan itu di Indonesia bagi menangani kawasan sawit yang tidak produktif dan tua dengan bahan penanaman baharu yang mampu mengeluarkan hasil lebih tinggi,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata pemulihan berterusan yang agresif membabitkan operasi huluan Malaysia SDP mula menunjukkan hasil dengan peningkatan dalam pengeluaran tandan buah segar Malaysia pada suku kedua.
Ini, ditambah dengan ketibaan dan peningkatan kemahiran penuai baharu akan meletakkan operasi penuaian serta keadaan ladang kembali ke landasan yang betul dalam memberikan produktiviti yang lebih baik untuk sepanjang tahun ini.
“Ketika kami menghampiri tempoh pengeluaran puncak pada bulan-bulan akan datang, kumpulan menantikan peningkatan berterusan prestasi kami pada separuh kedua tahun kewangan 2023,” katanya.
Beliau ketika mengulas mengenai prospek menjelaskan pengeluaran tandan buah segar dijangka menyaksikan peningkatan yang stabil apabila kumpulan itu berkembang menjadi pengeluaran puncak dalam beberapa bulan akan datang.
Usaha ini melengkapkan komitmennya bagi meneruskan inisiatif transformasinya untuk membuat automasi dan mendigitalkan operasinya di Malaysia.
SDP mengisytiharkan dividen interim sebanyak 3.25 sen sesaham untuk tahun kewangan 2023.
— BERNAMA




