KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) — Eastern and Oriental Bhd (E&O) kembali mencatat keuntungan pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024 (S1 TK2024) dengan keuntungan bersihnya sebanyak RM32.95 juta berbanding kerugian bersih RM1.65 juta pada S1 TK2023 disebabkan hasil yang meningkat dan keuntungan pertukaran asing yang tidak direalisasikan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu berkata hasilnya meningkat sebanyak 11.6 peratus kepada RM85.41 juta daripada RM76.55 juta setahun lalu, terutamanya disebabkan oleh jualan Arica di Andaman Island.
Hasil yang meningkat itu disumbangkan oleh segmen hartanah yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM3.6 juta dan pertambahan sebanyak RM5.0 juta dalam segmen hospitaliti, katanya.
Pengarah Urusan E&O Kok Tuck Cheong berkata, kadar pembelian yang kukuh bagi dua hartanah yang baru dilancarkan di Andaman Island, iaitu The Meg dan Arica, mencerminkan rekod prestasi dan penjenamaannya sebagai pemaju gaya hidup.
“Begitu juga dengan hotel kami di Malaysia dan London yang mengalami kadar penghunian yang lebih baik, ditambah dengan permintaan yang lebih tinggi untuk perkhidmatan bankuet kami untuk acara-acara korporat dan persendirian,” katanya dalam taklimat keputusan suku pertama tahun kewangan 2024 di sini hari ini.
Beliau juga menjangkakan pasaran hartanah Malaysia akan bertambah baik, terutamanya untuk lokasi-lokasi strategik, ditambah pula dengan pemulihan yang stabil dalam sektor pelancongan yang didorong oleh peningkatan dalam tempahan hotel.
“Kami optimis dengan berhati-hati bahawa kami akan dapat melaksanakan rancangan dan strategi kami untuk membawa kumpulan ke tahap yang lebih tinggi dengan pelancaran penawaran produk baharu kami, yang sudah dalam perancangan dan pelancaran dijangka pada S4 TK2024,” katanya .
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Datuk Tee Eng Ho berkata jumlah nilai pembangunan kasar semasa bagi projek yang sedang dijalankannya berjumlah RM2.47 bilion merangkumi lima projek iaitu The Meg, Conlay, The Peak, Arica dan Avira Fasa D.
“Tiada dividen diumumkan untuk S1 TK2024 dan kami tidak menjangkakan sebarang pengumuman dividen pada tahun ini kerana kami memberi tumpuan kepada projek Andaman Island,” katanya sambil menambah, syarikat itu merancang untuk melancarkan gabungan unit pangsapuri perkhidmatan dan kediaman bertanah dalam Fasa 1 Andaman Island pada suku ketiga dan keempat tahun kewangan.
— BERNAMA