KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) – Keuntungan bersih Matrix Concepts Holdings Bhd untuk suku pertama berakhir 30 Jun 2023 melonjak kepada RM64.60 juta berbanding RM47.04 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.
Pendapatan bagi suku dalam tinjauan ialah RM331.43 juta, menokok daripada RM229.26 juta, menandakan peningkatan sebanyak 44.6 peratus selepas didorong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian pembangunan hartanah kumpulan itu.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembangunan hartanah, pembinaan, pendidikan dan hospitaliti itu berkata hartanah kediaman serta komersial menjadi penyumbang hasil utama .
“Ia berjumlah RM306.3 juta bagi suku dalam tinjauan, kenaikan sebanyak RM104.4 juta atau 51.7 peratus daripada RM201.9 juta sebelumnya.
“Kumpulan itu mendapat manfaat daripada peningkatan kelajuan aktiviti pembinaan selepas isu kekurangan buruh yang dihadapi lebih 18 bulan lalu telah diselesaikan, dengan aliran tenaga kerja baharu yang berterusan sejak lewat 2022,” katanya.
Kumpulan itu menjangkakan akan terus menerima manfaat daripada trend permintaan yang sihat pada masa hadapan, terutama pertumbuhan di Sendayan Developments yang merupakan pembangunan induknya, berikutan kecenderungan penduduk Lembah Klang untuk berpindah ke luar pusat bandar.
“Disokong oleh saluran jualan yang mantap melalui penyelesaian digital seperti platform media sosial, kumpulan itu berhasrat untuk memanfaatkan permintaan kukuh yang dipacu oleh cadangan nilai yang menarik bagi hartanah kediamannya, terutamanya yang berada dalam jajaran harga RM600,000,” katanya.
Kumpulan itu ketika bercakap mengenai masa hadapannya berkata ia tetap berdedikasi untuk meningkatkan pembangunan perbandaran Sendayan Developments, yang merrangkumi Bandar Sri Sendayan, Ara Sendayan serta Tiara Sendayan di Negeri Sembilan, dan Bandar Seri Impian di Kluang, Johor.
“Ini termasuk penambahbaikan kepada kemudahan serta infrastruktur dalam menyokong kehidupan masyarakat yang cergas selain usaha perbankan tanah untuk mengembangkan saluran pelancaran yang akan datang,” tambahnya.
Lembaga pengarah telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 2.5 sen sesaham perlu dibayar menjelang 5 Okt 2023.
— BERNAMA




