KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih MY EG Services Bhd (MYEG) meningkat kepada RM111.56 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2023 daripada RM88.64 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Hasil juga melonjak kepada RM184.88 juta pada suku kedua 2023 berbanding RM161.79 juta sebelumnya disebabkan sumbangan yang lebih tinggi daripada perkhidmatan sedia ada, ditambah dengan perkhidmatan yang baharu dilancarkan iaitu platform blockchain Zetrix dan penjualan token Zetrix.
Bagi separuh pertama 2023, ia mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM217.49 juta daripada RM173.26 juta tahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM358.10 juta daripada RM323.56 juta sebelumnya.
Mengenai prospek, kumpulan itu berkata wujud potensi besar untuk MYEG untuk mengkomersialkan perkhidmatan inovatif memandangkan Web 3.0 mula diterima pakai secara meluas dengan platform blockchain Layer 1 Zetrix menerusi dalam talian.
“Selain itu, Zetrix telah disepadukan dengan platform blockchain nasional China, Xing Huo yang akan membolehkan kemudahan perdagangan rentas sempadan dan ia akan menjadi penerokaan kumpulan itu ke pasaran global,” katanya.
Sementara itu, kumpulan itu juga mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 0.25 sen sesaham biasa yang akan dibayar pada 17 November, 2023.
— BERNAMA




