KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Aneka Jaringan Holdings Bhd, Aneka Jaringan Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM35 juta daripada Sena Letrik (M) Sdn Bhd untuk melaksanakan kerja-kerja cerucuk, kerja tanah dan substruktur bagi kompleks pusat perubatan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata syarikat itu menerima tawaran kontrak tersebut pada 18 Ogos 2023.
Syarikat itu akan melaksanakan pembinaan kompleks pusat perubatan 31 tingkat di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Tarikh permulaan kontrak ialah pada 1 Sept 2023 dan siap pada 31 Jan 2025.
“Kontrak berkenaan tidak akan memberi kesan kepada struktur modal saham dan pegangan saham syarikat.
“Kontrak itu bagaimanapun, dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan yang disatukan dan aset bersih Aneka bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2024 dan 31 Ogos 2025, sepanjang tempoh kontrak,” katanya.
— BERNAMA