KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) — CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) meraih keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM343.52 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2023 daripada RM220.04 juta pada tempoh sama tahun lepas.
Perolehan hasil melonjak kepada RM3.12 bilion berbanding RM1.54 bilion sebelum ini, dipacu oleh peningkatan jualan peranti manakala jumlah pelanggan tumbuh 3.0 peratus dengan tambahan bersih 599,000 kepada 20.48 juta, kata syarikat telekomunikasi itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi asas kumulatif selama enam bulan, keuntungan bersih CelcomDigi meningkat kepada RM661.44 juta daripada RM456.19 juta dalam tempoh sama tahun lepas manakala perolehan hasil naik kepada RM6.30 bilion daripada RM3.06 bilion sebelumnya, didorong oleh jualan peranti dan perkhidmatan lebih tinggi.
CelcomDigi turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 3.2 sen sesaham berjumlah RM375 juta yang dibayar pada 6 Sept, 2023.
Menjelaskan selanjutnya, syarikat itu berkata momentum pertumbuhan segmen gentian optik tempatan terbukti berterusan dalam suku kedua dengan kadar langganan lebih meningkat bagi pelan fiber bernilai tinggi yang dilancarkan pada suku pertama 2023, sekali gus merekodkan pertumbuhan pendapatan dan jumlah pelanggan yang kukuh.
“Peningkatan tersebut sebahagiannya dapat menampung kesan kadar kesalingsambungan lebih rendah dalam segmen pascabayar dan prabayar serta penurunan sumbangan rakan borong yang menyebabkan hasil perkhidmatan susut 0.3 peratus kepada RM2.71 bilion,” katanya.
Bagi suku di bawah tempoh kajian itu juga, CelcomDigi bertindak memperhebatkan aktiviti intgerasi dan meneruskan pelaburan dalam usaha meningkatkan kapasiti rangkaian dan inisiatif teknologi maklumat untuk menambah baik pengalaman pelanggan.
Ini merangkumi pelaburannya sebanyak RM252 juta dalam perbelanjaan modal (capex) atau 8.1 peratus daripada jumlah pendapatan pada suku kedua 2023 bagi inisiatif peningkatan kapasiti rangkaian dan integrasi.
Menurut kenyataan itu, sejajar dengan pelaksanaan projek utama yang bermula pada Jun 2023, CelcomDigi juga optimis bahawa capex akan meningkat dalam tempoh dua suku akan datang bagi tahun kewangan 2023.
Pada masa sama, syarikat tersebut telah menyempurnakan 60 peratus daripada pelan integrasi dan pemodenan rangkaian bagi 2023 yang menyaksikan lebih daripada 2,000 tapak dalam 24 kluster disatukan setakat ini.
Bagi kemajuan masa depan, CelcomDigi akan terus memberi tumpuan bagi merealisasikan pertumbuhan dan keuntungan lebih tinggi selain memperhebat usaha integrasi rangkaian, teknologi maklumat dan organisasi syarikat.
Syarikat itu akan turut meneruskan peranan aktif dalam pelaksanaan 5G negara dan kekal komited untuk memastikan peralihan kepada model dwirangkaian 5G dengan lebih lancar,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi menyifatkan inisiatif integrasi serta pemodenan rangkaian berkenaan sebagai berjalan lancar bagi meningkatkan lagi pengalaman bagi rangkaian 4G.
“Kami kekal komited untuk menerajui penerimagunaan 5G dan telah melaksanakan inisiatif termasuk siri meja bulat CEO CelcomDigi MY5G untuk membantu perniagaan memastikan potensi sebenar 5G dapat direalisasikan. Kami juga berharap dapat mewujudkan lebih banyak nilai serta manfaat 5G kepada pengguna serta perniagaan,” katanya.




