KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih Dialog Group Bhd bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 meningkat kepada RM510.52 juta berbanding RM508.01 juta bagi tempoh sama sebelumnya.
Hasil menokok 29.4 peratus kepada RM3.0 bilion daripada RM2.32 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelum itu.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, pada tahun kewangan itu, operasi di Malaysia mencatatkan peningkatan hasil daripada aktiviti huluan, pertengahan dan hilirannya.
Menurut Dialog, hasil perniagaan huluan yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya daripada pelaksanaan projek di medan Bayan yang terletak di luar pesisir Sarawak.
“Bagaimanapun, keuntungan bersih daripada perniagaan huluan adalah lebih rendah berikutan aktiviti penyelenggaraan dan kos operasi yang tinggi,” katanya.
Dialog berkata aktiviti peringkat pertengahan di Malaysia terus menyumbang kepada aliran hasil yang stabil bagi kumpulan itu daripada operasi Terminal Langsat dan Terminal Pengerang.
Bagaimanapun, sumbangan keuntungan daripada kedua-dua terminal rendah disebabkan kos pembiayaan yang tinggi.
Aktiviti hiliran di Malaysia juga kekal aktif dengan pelbagai projek kejuruteraan, pembinaan, fabrikasi dan penyelenggaraan loji, katanya.
“Bagaimanapun, cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini akibat pandemik Covid-19, konflik di Ukraine, tekanan inflasi dan kekangan tenaga manusia terus memberikan kesan kepada projek sedang dijalankan. Keadaan tidak dijangka ini telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan yang buruk, harga bahan lebih tinggi dan kos buruh.
“Di sebalik cabaran-cabaran ini, keutamaan kumpulan masih kekal untuk menyiapkan dan melaksanakan projek-projek komited, yang seperti dijangka menyebabkan kos berlebihan dan kerugian projek,” katanya.
Di peringkat antarabangsa, kumpulan ini mencatatkan hasil dan keuntungan bersih yang tinggi bagi tahun kewangan 2023 yang disumbangkan oleh peningkatan aktiviti dan persekitaran perniagaan yang bertambah baik di luar negara.
Dalam perkembangan lain, Dialog berkata kumpulan telah menyelesaikan pembelian kepentingan ekuiti sebanyak 50.01 peratus dalam Pan Orient Energy (Siam) Ltd, pemegang konsesi dan pengendali Konsesi L53/48 di medan minyak daratan Thailand pada Ogos 2022.
Menurutnya langkah ini telah menyumbang kepada bahagian lebih tinggi kepada kumpulan daripada usaha sama tersebut untuk suku semasa dan tahun kewangan berkenaan.
Melangkah ke hadapan, kumpulan itu berkata akan kekal optimis berkenaan prestasi positifnya untuk tahun kewangan 2024.
Katanya sebagai penyedia perkhidmatan teknikal bersepadu terkemuka yang mempelbagaikan perniagaan huluan, pertengahan dan hiliran sektor tenaga, Dialog akan kekal teguh dan memberikan tumpuan untuk melaksanakan strategi jangka panjang utamanya.
Dialog berkata lembaga pengarah telah mencadangkan dividen tunai akhir sebanyak 2.40 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan 2023 untuk kelulusan pada mesyuarat agung akan datang, menjadikan jumlah dividen tunai berjumlah 3.70 sen sesaham sebanyak RM209.35 juta bagi tahun itu.
— BERNAMA




