KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih Berjaya Food Bhd (BFood) menyusut kepada RM103.41 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 daripada RM124.78 juta pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, perolehan dalam tempoh itu meningkat kepada RM1.12 bilion daripada RM997.76 juta sebelum ini, terutamanya disumbangkan oleh kempen pemasaran agresif dan strategi promosi yang berkesan pada tahun kewangan semasa yang dikaji, di samping kedai tambahan yang beroperasi di Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, menurutnya kos operasi yang lebih tinggi akibat tekanan inflasi dan kadar pertukaran asing yang tidak memuaskan berbanding dolar Amerika Syarikat telah menjejaskan keuntungannya.
Pada suku terakhir bagi tahun kewangan 2023, syarikat mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah berjumlah RM17.28 juta daripada RM40.66 juta pada tahun sebelumnya, manakala perolehan berkurangan kepada RM271.75 juta berbanding RM291.27 juta sebelum ini.
Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim keempat peringkat tunggal sesaham sebanyak 0.50 sen bagi tahun kewangan 2023 dengan tarikh kelayakan pada 12 Sept dan mesti dibayar pada 26 Sept 2023. Jumlah dividen yang diisytiharkan bagi tahun kewangan 2023 sebanyak 3.50 sen.
Dari segi prospek, BFood menjangka rangkaian kopi Starbucks akan mengekalkan momentum pertumbuhan perolehannya, selain turut meramalkan keputusan operasi kumpulan itu kekal memuaskan.
Kumpulan ini terlibat terutamanya dalam membangunkan dan menguruskan jenama Starbucks Coffee di Malaysia dan Brunei, rantaian Kenny Rogers Roasters di Malaysia serta Jollibean dan jenama-jenama lain di Singapura.
— BERNAMA




