KGW GROUP BUAT KEMUNCULAN PERTAMA DI PASARAN ACE PADA HARGA 23 SEN
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — KGW Group Bhd, penyedia perkhidmatan logistik membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada harga 23 sen dengan premium dua sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 21 sen.
Ketika loceng pembukaan, sejumlah 13.86 juta saham telah diniagakan.
Pengarah Urusan KGW Group Datuk Roger Wong berkata kumpulan itu mengumpul sejumlah RM16.73 juta melalui IPO, yang mana RM10 juta daripada hasil itu diperuntukkan untuk membayar balik pinjaman bank berhubung pembelian bangunan pejabat tiga tingkat pegangan bebas dengan gudang tambahan dua tingkat yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.
“Sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk pengubahsuaian gudang, RM0.73 juta daripada kutipan akan digunakan untuk tujuan modal kerja manakala baki RM4 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian,” katanya pada sidang media secara maya selepas majlis penyenaraian hari ini.
Pada masa hadapan, beliau berkata syarikat itu merancang untuk mengembangkan perniagaannya di pasaran geografi lain selain daripada kedudukan kukuhnya di pasaran Amerika Syarikat (AS) dan mengembangkan jabatan jualan dan pemasaran dengan mempunyai pasukan pembangunan perniagaan antarabangsa sebagai salah satu strategi utama dalam pengembangannya.
“Kami akan menempatkan semula ke gudang baharu kami, jadi sebaik sahaja kami berpindah ke gudang ini, kami akan dapat memusatkan perniagaan kami dan akan dapat mengembangkan bilangan pekerja kami terutamanya dalam jualan dan pemasaran dan juga dalam pembangunan perniagaan antarabangsa.
“Kami akan terus memberi tumpuan kepada perniagaan pergudangan dan pengedaran produk penjagaan kesihatan dengan menyasarkan peniaga tempatan untuk menyelaraskan operasi mereka dan mengurangkan kos,” katanya.
Menurut laporan penyelidikan pasaran bebas dalam prospektus KGW, kumpulan itu menjana pendapatan sebanyak RM228 juta hasil penglibatannya dalam industri logistik Malaysia, bersamaan dengan 0.37 peratus daripada jumlah saiz pasaran industri logistik di Malaysia yang berjumlah RM62.20 bilion pada 2022.
Laporan itu menyatakan industri logistik Malaysia diunjurkan mencecah RM66.25 bilion pada 2023 dan berkembang kepada RM87.57 bilion pada 2027.
Mengulas mengenai perkara itu, Wong optimis mengenai prospek tersebut dan melihat banyak ruang untuk syarikatnya berkembang dalam sektor logistik.
KGW disokong oleh tiga anak syarikat, iaitu KGW Logistics (M) Sdn Bhd, Mattroy Logistics (Malaysia) Sdn Bhd dan KGW Medica Sdn Bhd.
KGW Logistics memfokuskan penghantaran kargo perkapalan ke dan dari AS, yang merupakan pasaran terbesar KGW manakala Mattroy Logistics mengendalikan penghantaran ke dan dari kawasan-kawasan lain di dunia.
Sementara itu, KGW Medica memiliki kepakaran dalam pergudangan dan pengedaran produk serta peranti berkaitan penjagaan kesihatan.
— BERNAMA