KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Group Bhd, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd memperoleh dua kontak bernilai RM46 juta daripada Eastern & Oriental Express Sdn Bhd (E&OE) dan Persada Mentari Sdn Bhd (PMSB).
E&OE dan PMSB merupakan anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd.
Kontrak pertama bernilai RM24.7 juta daripada E&OE melibatkan kerja-kerja melaksanakan dan menyiapkan pembersihan tapak, kerja tanah, kerja saliran dan semua kerja berkaitan lain untuk cadangan pembangunan bercampur yang terletak di Seksyen U17, Shah Alam, Selangor, kata syarikat itu dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Tempoh penyiapan dijangkakan selama 17 bulan dan kerja-kerja akan bermula pada 1 Okt, 2023.
Kontrak kedua bernilai RM21.3 juta yang diterima daripada PMSB melibatkan pelaksanaan dan penyiapan kerja-kerja infrastruktur yang merangkumi saliran air permukaan, sistem retikulasi air, sistem retikulasi pembetungan, kerja jalan, lurang dan saluran bawah tanah Tenaga Nasional Bhd dan Telekom Malaysia, kerja landskap dan semua kerja lain yang berkaitan untuk cadangan Pembangunan Fasa 2A Seri Tanjung Pinang, Pulau Pinang.
Kerja-kerja infrastruktur itu dijangka siap dalam tempoh 12 bulan bermula dari 18 Sept, 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Tee Eng Tiong berkata sehingga kini bagi tahun ini nilai perolehan kontrak syarikat bertambah kepada RM983.8 juta, mencapai 82 peratus daripada sasaran perolehan kontrak bernilai RM1.2 bilion bagi tahun ini.
“Kami akan terus berusaha untuk mendapatkan lebih banyak kontrak, memastikan kualiti kerja kami berkualiti tinggi dan melaksanakan semua projek sedang dibangunkan dalam tempoh masa yang ditetapkan untuk mengekalkan pendapatan kami,” katanya.
— BERNAMA
 
			 
		    




