PETALING JAYA, 27 Julai (Bernama) — Malaysia Building Society Bhd (MBSB) menerima persetujuan daripada pemegang sahamnya untuk cadangan pengambilalihan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam urus niaga bernilai RM1.01 bilion.
Pembelian itu akan dilunaskan melalui penerbitan 1.05 bilion saham MBSB, mewakili 12.8 peratus daripada asas saham kumpulan yang diperbesarkan, kepada PNB pada harga 96.52 sen sesaham, katanya dalam satu kenyataan sempena mesyuarat agung luar biasa kumpulan itu hari ini.
Berikutan cadangan urus niaga itu, yang dijangka selesai bulan depan, MIDF akan menjadi anak syarikat milik penuh MBSB dan PNB akan muncul sebagai pemegang saham penting MBSB dengan pegangan ekuiti sebanyak 12.78 peratus.
Pegangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam MBSB akan berkurangan kepada 57.45 peratus daripada 65.87 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MBSB yang baharu, Rafe Haneef berkata penggabungan itu secara strategik adalah menarik untuk kedua-dua kumpulan perbankan tersebut.
Beliau berkata kumpulan yang diperbesarkan itu akan memberikan set produk dan perkhidmatan yang lebih luas untuk memenuhi sektor tertentu dalam tiga garis perniagaan perbankan korporat, pengguna dan komersial.
Kumpulan itu akan dapat menawarkan perkhidmatan perbankan hujung ke hujung yang terdiri daripada perbankan pengguna, pembrokeran saham dan pengurusan aset, perbankan komersial, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kewangan pembangunan serta perbankan korporat dan pelaburan, katanya.
“Ini (penggabungan) juga memberi kita asas modal yang lebih besar. Kita kini mempunyai lebih banyak modal, membolehkan kita mengembangkan aset dengan jumlah aset digabungkan (berjumlah) melebihi RM63 bilion, (dan ini) adalah saiz yang sesuai untuk segmen pasaran yang kita mahu ceburi.
“Dengan jumlah pembiayaan kira-kira RM42 bilion dan lebihan modal, kita mempunyai potensi besar untuk menggandakan pembiayaan ini.
“Kita mahu (bersaing) dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana ada potensi pertumbuhan yang lebih tinggi yang boleh meningkatkan pertumbuhan aset kita mungkin dalam dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.
Rafe berkata segmen PKS akan menjadi penerima terbesar dalam penggabungan MBSB-MIDF yang akan mewujudkan peluang yang lebih besar untuk kumpulan perbankan yang diperbesarkan dalam segmen perbankan komersial.
Beliau berkata penggabungan itu akan memastikan segmen PKS mendapat perkhidmatan yang baik dan membolehkan produk dan perkhidmatan tambahan ditawarkan kepada mereka.
“Jadi, kita bukan sahaja boleh menawarkan pembiayaan PKS tradisional, tetapi juga boleh menggabungkan pembiayaan dengan kewangan pembangunan dan geran,” katanya.
Sementara itu, Rafe menjangkakan integrasi di antara MBSB dan MIDF akan direalisasikan dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang.
Beliau berkata kedua-dua entiti itu boleh mengakses perniagaan perbankan deposit dan menawarkan penyelesaian pengurusan tunai kepada pelanggan melalui cawangan dan saluran digital mereka.
“Bilangan lengkap produk oleh MBSB dan MIDF diharapkan dapat memberikan kita kuasa pengekalan yang lebih besar dengan pelanggan kita. Bagi membawa integrasi ini merentasi pengguna, korporat dan komersial, saya akan andaikan jika pelaksanaannya sangat berfokus, kita mungkin dapat melihat integrasi (untuk direalisasikan) dalam 12 hingga 24 bulan,” katanya.
Selain itu, kumpulan yang diperbesarkan tersebut akan dapat memberi perkhidmatan kepada pelanggan melalui gabungan keupayaan digital mereka dan rangkaian di 53 cawangan di seluruh negara, yang terdiri daripada 47 cawangan MBSB Bank dan enam daripada MIDF.
Mengulas laporan berita baru-baru ini tentang kemungkinan pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad sebagai Pengerusi Kumpulan MBSB-MIDF yang diperbesarkan, Rafe berkata pasaran akan mengetahuinya pada masa akan datang.
“Mungkin dalam beberapa minggu akan datang, kita sepatutnya boleh mendapatkan pengesahan rasmi dan kemudian boleh dikemaskinikan di pasaran,” tambahnya.
— BERNAMA




