KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) — Keuntungan bersih Nestle (Malaysia) Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2023 meningkat kepada RM180.92 juta daripada RM169.65 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun kewangan 2022, dipacu oleh pertumbuhan perolehan yang kukuh serta tumpuan berterusan kepada kecekapan dalaman dalam keadaan tekanan berkekalan ke atas harga komoditi.
“Peningkatan keuntungan ini adalah menepati pelaburan pemasaran lebih tinggi yang menjanakan lagi pertumbuhan pesat dan memperoleh bahagian pasaran dalam beberapa segmen,” jelas syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis.
Menurut Nestle perolehannya menokok 6.8 peratus kepada RM1.75 bilion pada suku kedua tahun kewangan 2023 daripada RM1.64 bilion pada tempoh sama tahun kewangan sebelum ini, disumbangkan terutama oleh peningkatan jualan domestik yang mencatatkan pertumbuhan dua angka, 11.6 peratus.
“Ini mengimbangi sedikit jualan eksport yang lebih rendah ekoran asas yang kukuh pada suku sama tahun kewangan sebelumnya,” tambahnya.
Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2023, syarikat itu merekodkan keuntungan bersih RM378.06 juta, meningkat daripada RM374.83 juta dalam tempoh sama tahun kewangan 2022, manakala perolehan naik kepada RM3.59 bilion daripada RM3.33 bilion.
Dalam kenyataan berasingan, Nestle mengisytiharkan dividen interim sebanyak 70 sen sesaham, boleh bayar pada 5 Okt, 2023.
Jumlah dividen interim yang diisytiharkan itu adalah sebanyak RM164.15 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023.
Dalam kenyataan media pula, Ketua Pegawai Eksekutif, Juan Aranols berkata pihaknya kekal yakin dengan keupayaan syarikat untuk sekali lagi mencatatkan pertumbuhan jualan, meningkatkan aliran tunai, tahap keuntungan dan pulangan kepada pemegang saham pada tahun yang dilaporkan.
Keyakinan itu diberikan walaupun pelbagai ketidakpastian masih wujud, terutama kesan kelemahan ringgit, ketidakstabilan berterusan harga komoditi dan pasaran tenaga, katanya.
— BERNAMA