KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — MST Golf Group Bhd mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini pada 70.5 sen, diskaun sebanyak 10.5 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 81 sen.
Pada pembukaan, sebanyak 3.46 juta saham diniagakan.
Mengulas mengenai harga saham yang lebih rendah, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Ng Yap berkata kumpulan tidak mempunyai jangkaan yang tinggi, memahami sentimen pasaran di pasaran ekuiti.
“Alasan kepada idea ini ialah untuk mengumpul dana yang mencukupi untuk mempercepatkan pengembangan dalaman kami berdasarkan asas kami yang kukuh sejak 30 tahun yang lepas.
“Oleh itu, kami tidak mempunyai banyak jangkaan. Kami memberi tumpuan kepada asas kami dan selesa dengan meletakkan diri kami dalam kedudukan untuk benar-benar berkembang dalam fasa syarikat kami yang seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas penyenaraian kumpulan itu di sini hari ini.
Peruncit dan penyedia perkhidmatan peralatan golf itu mempunyai bahagian pasaran sebanyak 51 peratus dengan 25 jenama utama di bawah saluran pengedarannya di seluruh Malaysia dan Singapura. Ia akan menembusi pasaran Indonesia pada awal tahun depan.
Ng berkata sebanyak 90 peratus daripada hasil IPO diperuntukkan untuk pengembangan perniagaan di peringkat domestik dan serantau.
“Bagi pengembangan di luar negara, kami sebenarnya menyasarkan untuk buka pada tahun depan di Indonesia dahulu. Kami telah menandatangani perjanjian dengan pemain runcit Indonesia yang kukuh pada tahun lepas, Erajaya Group.
“Justeru, kami amat gembira bekerjasama dengan kumpulan runcit yang sangat kukuh dan kami akan memanfaatkan kepakaran mereka, pengimportan logistik dan juga sumber manusia,” katanya.
Kumpulan itu menyasarkan untuk membuka di 13 lokasi di Malaysia dan dua di Singapura.
Ng berkata pandemik COVID-19 telah membawa kepada ledakan golf yang menarik sejumlah besar pemain golf baharu, terutamanya daripada generasi muda. Fenomena ini berlaku di Malaysia dan Singapura.
“Dengan penyertaan pemain golf baharu ini, industri golf diselaraskan untuk memenuhi semua pemain golf baharu ini dan menawarkan pelbagai kejohanan,” katanya.
Kumpulan itu kini mempunyai 47 cawangan runcit – 39 cawangan di Malaysia dan lapan di Singapura.
— BERNAMA




