KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Titijaya Land Bhd, Titijaya PMC Sdn Bhd dan Titijaya South Asia Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli dengan Menara ABS Bhd untuk membeli Menara TM Semarak pada harga RM72 juta.
Menara ABS Bhd ialah syarikat tujuan khas (SPV) untuk melaksanakan program pensekuritian aset di mana syarikat akan menerbitkan sekuriti hutang swasta bersandarkan aset termasuk sekuriti, nota, bon atau debentur untuk mengumpul dana untuk Telekom Malaysia Bhd.
Pemaju hartanah gaya hidup bandar Titijaya Land berkata kumpulan itu berhasrat untuk mengambil alih hartanah itu untuk tujuan pajakan dan menyediakan sumber pendapatan tambahan kepada kumpulan selain projek pembangunan hartanahnya sedia ada.
“Pembelian itu berpotensi membolehkan kumpulan itu menjana pendapatan tambahan melalui pendapatan sewa atau pajakan daripada penyewa sedia ada dan berpotensi serta memudahkan kemasukan ke dalam perniagaan pusat data,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Harga pembelian akan dibayar sepenuhnya secara tunai yang akan dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.
“Selain daripada sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan pembelian itu dijangka selesai menjelang suku ketiga tahun kewangan berakhir 2024,” katanya.
— BERNAMA