KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) — Unit milik penuh Wellspire Holdings Bhd, Wellspire Global Trading Sdn Bhd telah memperoleh kontrak pengedaran serantau pertamanya daripada sebuah syarikat dari China, Cundo Food Co Ltd untuk mengedarkan produk jenama itu di Malaysia, Singapura dan Thailand.
Di bawah perjanjian itu, Wellspire, pengedar pembungkusan makanan pengguna di Thailand akan mempunyai hak eksklusif untuk mengedarkan produk kek bersalut coklat Cundo termasuk Kek Cundo (Perisa Susu), Kek Cundo (Perisa Raspberi Strawberi) dan Kek Cundo (Perisa Coklat) di wilayah yang ditetapkan, katanya.
Wellspire berkata kontrak tiga tahun tersebut akan mengukuhkan jejak pasaran serantaunya dengan membina portfolio produk sneknya dan mengembangkan aliran pendapatannya.
“Pencapaian penting ini akan meletakkan kami pada kedudukan yang lebih baik untuk menjadi salah satu syarikat pembungkusan makanan pengguna terkemuka di rantau Asean,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Mo Guopiao dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, data yang diterbitkan oleh Statista menunjukkan bahawa pasaran konfeksioneri dan makanan ringan di Asia Tenggara diunjurkan berkembang sebanyak 18.47 peratus (2023-2027) menghasilkan volum pasaran lebih daripada AS$3 bilion (AS$1=RM4.59 ) menjelang tahun 2027.
Selain itu, DPO International melaporkan bahawa di Malaysia sahaja, pasaran konfeksioneri bernilai lebih daripada AS$5.5 bilion pada 2021 dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6.14 peratus sehingga 2025.
“Di sebalik perkembanga pesat ini, Wellspire percaya pasaran konfeksioneri di rantau ini menawarkan potensi pertumbuhan hasil yang kukuh kerana permintaan akan terus meningkat dalam beberapa tahun akan datang.
“Wellspire akan terus menghasilkan peluang menjana pendapatan strategik untuk meletakkan dirinya lebih baik bagi meneroka pasaran di rantau ini ketika jumlah populasi terus meningkat bersama dengan pendapatan dijana setiap orang,” katanya.
Cundo ialah pengeluar produk bakeri coklat berskala besar yang mapan dari wilayah Hebei di China.
— BERNAMA




