KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) — Oppstar Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Shenzhen City Yixin Investment (Yixin) untuk bersama-sama menubuhkan syarikat pemegangan pelaburan dan syarikat teknologi berkaitan litar bersepadu yang akan berpangkalan di Shanghai, China.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat semikonduktor itu berkata tanggungjawabnya adalah untuk menyediakan pengetahuan dan kepimpinan teknikal dalam reka bentuk litar bersepadu dan pembangunan perniagaan serta menyediakan sokongan teknikal bagi fungsi-fungsi yang berkaitan.
Peranan Yixin pula adalah untuk merumuskan perancangan modal dan rancangan penjanaan modal mengikut kemajuan penyelidikan dan pembangunan serta keperluan pembangunan perniagaan syarikat, katanya dalam makluman itu.
Makluman itu turut menyatakan yang Yixin merancang untuk mengumpul modal dalam dua fasa, dengan jumlah nilai pelaburan RMB200 juta (RMB100=RM64.05) untuk pembangunan produk litar bersepadu.
Oppstar berkata, syarikat pemegangan itu akan menubuhkan syarikat teknologi dengan modal berbayar sebanyak RMB10 juta. Struktur pegangan saham masih belum ditentukan.
“MoU itu akan membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing serta membangunkan dan memiliki protokol internet secara bersama. Ini berpotensi mewujudkan pendapatan tambahan untuk kumpulan Oppstar,” katanya.
Oppstar percaya usaha sama itu akan menyediakan sinergi yang lebih baik dan kemampanan perniagaan melalui pengembangan kehadirannya di rantau timur laut Asia dan juga akan mengukuhkan profilnya.
Yixin diperbadankan di China dan perniagaan utamanya adalah untuk melabur dalam industri baru muncul seperti industri litar bersepadu. Pasukan pelaburan terasnya berada di pasaran modal China dan di luar negara. Oppstar dan anak syarikatnya menyediakan perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu.
— BERNAMA