KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) — Unit milik penuh Samaiden Group Bhd, Samaiden Sdn Bhd (SSB), telah memperoleh kontrak bernilai RM181.34 juta daripada syarikat bersekutu tidak langsung Uzma Bhd, Suria Infiniti Sdn Bhd, untuk membangunkan loji tenaga solar di Kuala Muda, Kedah.
Di bawah kontrak itu, SSB akan menjalankan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk loji janakuasa fotovolta (PV) solar berskala besar (MWac) 50 megawatt, yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga menurut program LSS4, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan Samaiden sepanjang tempoh projek, kata pakar tenaga boleh diperbaharui (RE) itu.
“Kami terus menambah pekerjaan kepada perniagaan EPCC kami sambil pada masa yang sama meneruskan strategi kami untuk mempelbagaikan secara geografi di seluruh rantau ini.
“Ini akan membantu meningkatkan prestasi kewangan kami dalam jangka panjang sambil kami memperoleh lebih banyak pekerjaan (sejajar dengan) permintaan untuk RE dalam kalangan perniagaan dan kerajaan untuk sumber tenaga kos lebih rendah serta untuk memenuhi komitmen kemampanan,” kata Pengarah Urusan kumpulan Chow Pui Hee.
Selain itu, jumlah nilai perolehan kontrak tertunggak Samaiden yang kini berjumlah RM388 juta dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan dalam tempoh tiga tahun akan datang, katanya.
— BERNAMA