KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) — SP Setia Bhd bercadang untuk menjual lapan petak tanah pegangan bebas seluas 388.4 hektar di Mukim Tebrau, Johor Bahru kepada Scientex Lestari Sdn Bhd pada harga RM547.65 juta.
Ini adalah percubaan kedua untuk melupuskan tanah Tebrau kepada Scientex Group selepas penamatan daripada perjanjian awal yang dibuat dengan subsidiari milik penuh Scientex Bhd, Scientex Quatari Sdn Bhd pada Mac tahun ini kerana tidak memenuhi syarat duluan.
SP Setia dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata unit milik penuhnya Pelangi Sdn Bhd hari ini telah menandatangani perjanjian bersyarat dengan Scientex Lestari, yang dimiliki 70 peratus oleh Scientex Quatari dan 30 peratus lagi oleh Datuk Azman Mahmud bagi cadangan penjualan tersebut.
“Cadangan pelupusan itu adalah selaras dengan hala tuju kumpulan untuk mengoptimumkan dan mengimbangi semula bank tanahnya sambil mengekalkan struktur modal yang cekap,” katanya.
Pada 7 Mei 2021, SP Setia telah mengumumkan cadangan pelupusan tanah yang sama kepada Scientex Quatari dengan harga RM518.15 juta. Bagaimanapun, perjanjian itu luput kerana tidak memenuhi syarat duluan, khususnya berkaitan dengan kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Syarat duluan ini dijangka akan dipenuhi dengan cadangan sekarang, katanya, sambil menambah bahawa perjanjian itu disasarkan untuk selesai menjelang suku kedua tahun depan.
“Cadangan pelupusan itu akan meningkatkan tahap penggearan kumpulan selain mendorong pembangunan projek dan pertumbuhan perbandaran SP Setia di Johor,” kata SP Setia.
Sementara itu, Scientex Bhd berkata dalam satu kenyataan bahawa kumpulan itu merancang untuk melancarkan projek pembangunan perbandaran bercampur-campur yang baharu di atas tanah itu, yang akan merangkumi kira-kira 12,000 rumah mampu milik.
Pemaju hartanah dan pengilang pembungkusan itu berkata pengambilan tanah berkenaan akan meluaskan jejak pembangunan hartanahnya dengan ketara di Johor, sebagai tambahan kepada enam perbandaran sedia ada yang terletak di Pasir Gudang, Kulai, Skudai, Senai, Pulai dan Kota Tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Scientex Lim Peng Jin berkata pembangunan perbandaran baharu itu adalah seiring dengan visi kumpulan itu bagi membina 50,000 rumah mampu milik di Semenanjung Malaysia menjelang 2028.
“Sehingga 30 Jun 2023, kami telah mencapai titik penting apabila mampu menyampaikan 29,000 rumah, yang mencerminkan kemajuan kami yang agak mantap. Pengembangan strategik ini akan membolehkan kami mewujudkan perbandaran yang bertenaga di Mukim Tebrau dan menyumbang kepada pembangunan Johor,” katanya.
Scientex berkata sebaik selesai, jumlah simpanan tanah kumpulan itu di seluruh Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah akan berkembang kepada kira-kira 3,100 hektar.
“Cadangan pengambilan tanah itu tertakluk kepada kelulusan Lembaga Tanah Ladang serta EPU dan jika perlu, kelulusan pemegang saham Scientex.
“Pemerolehan itu akan dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank, ianya dijangka selesai menjelang separuh pertama 2024,” tambahnya.
— BERNAMA