KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) — Penyusutan dalam pengeluaran susu ladang di Australia memberi kesan ke atas Farm Fresh Bhd tetapi syarikat itu percaya, kesannya agak minimal berbanding Bega Group.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia berhubung pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA), selepas sahamnya mencecah paras terendah sepanjang masa semalam, Farm Fresh berkata berdasarkan pengumuman baru-baru ini oleh Bega Group mengenai persaingan sengit bagi susu mentah, pembelian bahan susu daripada petani pihak ketiga di Australia dijangka menyumbang kira-kira 14 peratus daripada jumlah ramuan susunya bersamaan dengan lebih 100 juta liter pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024.
Selain itu, 70 peratus daripada susu mentah yang digunakan oleh Farm Fresh berasal dari ladangnya sendiri di Malaysia dan Australia, katanya.
Bagaimanapun, kumpulan itu akan terus mengambil kira pelbagai faktor dalam menentukan pelaburan dalam operasi huluan, pertengahan dan hilirannya, kos input termasuk variasi yang berlaku dari semasa ke semasa.
Ini adalah untuk memastikan Farm Fresh tidak terlalu bergantung kepada mana-mana sumber bahan susu tertentu, katanya.
Bega Group secara eksklusif membeli 100 peratus keperluan susunya daripada petani di Australia.
Kumpulan itu menjangkakan penurunan dalam pengeluaran susu ladang di Australia akan membawa kepada penyusutan prestasinya dan jangkaan kemerosotan bukan tunai pada jajaran AUD$180 juta hingga AUD$280 juta dalam keputusan diauditnya (tertakluk kepada pemuktamadan).
— BERNAMA