KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) — ITMAX System Bhd menerima kontrak daripada Segamat Specialist Hospital Sdn Bhd bernilai RM40 juta, menandakan kemasukan ITMAX ke dalam sektor swasta.
Di bawah kontrak itu, ITMAX akan menyediakan kerja-kerja subkontrak untuk reka bentuk dan penyediaan perkhidmatan sistem penjagaan kesihatan pintar, termasuk kerja-kerja kejuruteraan mekanikal dan elektrikal serta sistem pintar untuk sebuah hospital yang terletak di Segamat, Johor.
Kerja-kerja subkontrak ini dijangka siap pada 31 Dis 2024, selepas itu ITMAX akan menyelenggara dan mengendalikan sistem pintar itu untuk tempoh tiga tahun, sehingga 31 Dis 2027.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif William Tan Wei Lun berkata ini merupakan peristiwa penting bagi kumpulan itu susulan kemasukannya dalam sektor swasta dengan memanfaatkan teknologi, kepakaran dan rekod prestasi dalam ruang sistem rangkaian ruang awam.
“Perolehan kontrak ini memenuhi objektif kami untuk mempelbagaikan aliran hasil strategik yang baharu, selain mengembangkan sektor perniagaan yang kami ceburi dan pangkalan pelanggan.
“Paling penting, ia meningkatkan penglibatan kami dalam ruang digital bersepadu dengan memanfaatkan penggunaan platform teknologi bandar pintar kami dan menceburi bidang industri kemudahan penjagaan kesihatan pintar yang semakin berkembang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, pelaksanaan sistem pintar ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi hospital dan sekali gus meningkatkan pengalaman keseluruhan pesakit.
— BERNAMA