KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) — Pakar pembinaan, Haily Group Bhd, memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM53.90 juta daripada Tasek Maju Realty Sdn Bhd untuk membina 170 unit kediaman bagi perbandaran Taman Mutiara Maju di Johor Bahru.
Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, kontrak tersebut yang bermula pada 17 Ogos 2023 dan dijadual siap dalam tempoh 15 bulan, merupakan projek utama keempat yang diperoleh syarikat tahun ini, menjadikan jumlah nilai kontrak projek yang sedang dibangunkannya sebanyak RM713.56 juta.
Pengasas dan Pengarah Eksekutifnya See Tin Hai berkata setakat ini bagi tahun ini, syarikat itu telah memperoleh jumlah kontrak bernilai RM204.48 juta, yang mana melebihi apa yang diperolehnya pada keseluruhan 2022.
“Ketika kami terus meningkatkan jumlah nilai kontrak kami, kami kekal berada di landasan untuk mencapai tahun kewangan yang lebih kukuh pada 2023. Kami akan terus berusaha ke arah mendapatkan lebih banyak projek bernilai tinggi tahun ini,” katanya.
Kontrak utama lain yang diterima syarikat itu tahun ini termasuklah kontrak bernilai RM37.85 juta daripada Austin Senibong Development Sdn Bhd untuk membina 77 unit pejabat kedai tiga tingkat dalam projek Crest@Austin.
Selain itu, ia juga memperoleh kontrak bernilai RM78.28 juta bagi pembinaan 262 unit hartanah kediaman di Pontian, Johor daripada anak syarikat Gadang Holdings Bhd, Mandy Corporation Sdn Bhd, dan kontrak bernilai RM32.66 juta bagi pembinaan 186 unit kediaman di perbandaran Bandar Putra daripada Nice Frontier Sdn Bhd, ahli IOI Properties Group Bhd.
Haily merupakan kontraktor utama yang terlibat dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman di wilayah selatan Semenanjung Malaysia, khususnya Johor.
— BERNAMA