KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) — Opcom Holdings Bhd dan Global Forway bersetuju secara bersama untuk menamatkan perjanjian kerjasama berkenaan projek sektor 5G disebabkan gagal mendapatkan kontrak yang berkaitan sektor tersebut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Opcom berkata penamatan perjanjian kerjasama itu tidak melanggar mana-mana peruntukan yang terkandung dalam perjanjian tersebut.
“Lembaga pengarah juga berpendapat penamatan perjanjian tersebut tidak akan memberi sebarang kesan kewangan material kepada syarikat dan anak syarikatnya,” tambahnya.
Opcom, dalam pengumumannya di Bursa Malaysia pada 22 Okt, 2021, berkata ia telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Global Forway untuk membentuk syarikat usaha sama (JV) 60:40 iaitu Opcom Vision Sdn Bhd dalam usaha untuk meneroka sektor 5G.
Dalam pengumuman tersebut, ia memberitahu Global Forway mempunyai lesen dan kepakaran yang diperlukan untuk Opcom mengembangkan rangkaian perkhidmatannya bagi memasukkan perkhidmatan nilai tambah.
“Perkhidmatan yang ditawarkan ini termasuk perkhidmatan ketersambungan melibatkan akses internet khusus, dan talian pajakan point-to-point, perkhidmatan keselamatan seperti pemantauan keselamatan terurus, serta perkhidmatan pusat data yang merangkumi perkhidmatan lokasi bersama dan akses internet pusat data kepada perkhidmatan awan,” katanya.
— BERNAMA