GEORGE TOWN, 27 Jun (Bernama) — Fajarbaru Builder Group Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi membangunkan bandar perubatan dan hab pembangunan bercampur di Bandar Cassia, Batu Kawan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fajarbaru Builder, Datuk Seri Eric Kuan Khian Leng, berkata cadangan pembangunan itu adalah di kawasan seluas kira-kira 93 hektar, dan projek itu buat sementara waktu diberi nama Medi-City Bandar Cassia.
“Apabila siap, Medi-City Bandar Cassia akan berfungsi sebagai hab perubatan yang menyediakan perkhidmatan ekopelancongan dan perniagaan global dengan kemudahan termasuk hospital, kampus perubatan, hab bekalan perubatan, suite korporat, pusat pemulihan, kampung persaraan, pusat kesejahteraan dan sebagainya,” kata beliau.
Kuan berkata sebagai sebahagian daripada MoU itu, Fajarbaru akan bekerjasama dengan perunding profesional dan pakar industri untuk menjalankan kajian pasaran dan kajian kebolehlaksanaan serta membangunkan cadangan mengenai aspek teknikal dan kewangan bagi keseluruhan pembangunan.
“MoU itu akan kekal berkuat kuasa selama enam bulan dari tarikh perjanjian atau sehingga pemeteraian perjanjian muktamad antara Fajarbaru dan PDC.
“Fajarbaru juga boleh meminta lanjutan MoU untuk tempoh tiga bulan lagi, tertakluk kepada kelulusan PDC,” katanya.
Kuan berkata cadangan itu akan merangkumi elemen bukan perubatan, peruncitan, hotel, kediaman, hab komersial, komponen rekreasi dan sistem pengangkutan bersepadu.
“Matlamat kami adalah untuk membangunkan bandar perubatan yang berintegrasi ke dalam komuniti, menyumbang kepada kesihatan, kesejahteraan dan ekonomi masyarakat sekeliling sambil turut menarik pelancong perubatan dari seluruh dunia. Akhirnya, kami menyasarkan untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai hab perubatan serantau dan global melalui Medi-City Bandar Cassia,” katanya.
Kuan menambah, pembangunan Medi-City Bandar Cassia akan memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan ekonomi tempatan dan meletakkan Pulau Pinang sebagai peneraju serantau dan antarabangsa dalam sektor penjagaan kesihatan dan teknologi.
Diperbadankan pada tahun 1976, Fajarbaru Builder ialah sebuah syarikat pemegangan pelaburan dengan anak syarikatnya terlibat dalam pembinaan, pembangunan hartanah, pembalakan dan perdagangan kayu serta perniagaan perladangan terutamanya di Malaysia dan Australia.
— BERNAMA
TAG: Fajarbaru Builder, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Medi-City Bandar Cassia, Eric Kuan Khian Leng, MoU




