KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) — Keuntungan bersih Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) bagi suku kedua berakhir 30 April 2023 meningkat kepada RM62.69 juta daripada RM45.67 juta setahun lepas.
Bagaimanapun, perolehan susut kepada RM420.82 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 daripada RM506.89 juta sebelum ini disebabkan sumbangan lebih rendah daripada beberapa hartanah yang telah siap sepenuhnya pada tahun kewangan 2022, kata EcoWorld Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata beberapa projek utama menyumbang kepada prestasi kewangannya, termasuk Eco Majestic di Lembah Klang, Eco Business Park I di Iskandar Malaysia, Johor dan Eco Terraces di Pulau Pinang.
Selain itu, ia berkata bahawa EcoWorld International Bhd menyumbang RM0.3 juta dalam keuntungan pada suku kedua tahun kewangan 2023 berbanding kerugian sebanyak RM15.6 juta pada suku kedua tahun kewangan 2022 kebanyakannya disebabkan oleh keuntungan pertukaran asing yang lebih tinggi, pendapatan faedah yang lebih tinggi berikutan pembayaran balik yang diterima daripada syarikat usaha sama United Kingdom (UK) dan kos kewangan lebih rendah yang ditanggung pada suku di bawah semakan.
Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Chang Khim Wah berkata prestasi jualan kukuh yang dicapai oleh EcoWorld Malaysia merentasi semua segmen pasaran, merangkumi segmen kediaman kepada komersial dan perindustrian, ia membolehkan syarikat itu mencapai 68.5 peratus sasaran jualan tahunannya dalam masa tujuh bulan sahaja.
“Portfolio industri kami terus mencatatkan prestasi baik dengan RM838 juta dicapai tahun ini yang mewakili 111.3 peratus daripada jualan setahun bagi tahun kewangan 2022 daripada segmen ini,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Chang berkata EcoWorld Malaysia akan melancarkan beberapa siri pangsapuri “duduk” untuk memenuhi keperluan pemilik rumah kali pertama dan mereka yang ingin memiliki rumah pada harga yang berpatutan.
“Pelancaran Hana D’ Eco Ardence pada Mac 2023 baru-baru ini yang terbaharu dalam siri pangsapuri ‘duduk’ kami, mendapat sambutan yang sangat baik dengan 245 unit telah dibeli dalam tempoh kurang daripada dua bulan.
“Kami berharap dapat membawa produk yang sangat popular ini kepada pelanggan di perbandaran kami yang lain di Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang,” katanya.
— BERNAMA