KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) — UEM Sunrise Bhd telah bekerjasama dengan Greystar Real Estate Partners, LLC (Greystar) untuk membangunkan projek ‘bina untuk sewa’ (BtR) pertama di pinggir bandar Melbourne di Collingwood, Australia.
Perjanjian itu akan menjadikan Greystar sebagai pelabur dan seterusnya pemilik dan pengendali pembangunan BtR yang dicadangkan melalui struktur ‘fund-through’ dengan UEM Sunrise sebagai rakan kongsi pemaju dan penghantaran dengan nilai projek urus niaga adalah kira-kira A$277 juta (RM881 juta).
Pemaju hartanah itu berkata projek itu adalah projek BtR pertama oleh pemaju Malaysia di Australia dalam usaha untuk mengukuhkan kehadirannya di sana.
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata penglibatan dalam pasaran BtR yang sedang berkembang di Melbourne membuka satu lembaran baharu bagi kumpulan itu kerana ia meneruskan pengembangan aktifnya dalam pasaran Australia.
“Kami telah melihat permintaan yang ketara untuk projek bina untuk sewa itu apabila orang ramai mencari lebih banyak pilihan perumahan serta mahukan kehidupan komuniti dalam tempoh jangka panjang.
“Melbourne baru sahaja menjadi bandar paling ramai penduduk di Australia yang menjadikannya tempat yang sesuai untuk UEM Sunrise melabur dalam kelas aset,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terletak di 21-53 Hoddle Street dan tertakluk kepada kelulusan perancangan, pembangunan yang dicadangkan itu dijangka merangkumi 400 unit pangsapuri di dua bangunan dengan gabungan rumah jenis studio dan pangsapuri mempunyai satu, dua dan tiga bilik tidur.
UEM Sunrise berkata dokumen perancangan dijadualkan diserahkan pada Julai 2023 dan tertakluk kepada perancangan dan kelulusan, pembinaan dijangka bermula pada pertengahan akhir 2024 dan mengambil masa kira-kira tiga tahun.
Pemaju hartanah telah menyelesaikan pembelian tapak di 21-53 Hoddle Street di Collingwood daripada Jowett Properties pada Mac 2021.
— BERNAMA
TAG: UEM Sunrise, Australia, Greystar, bina untuk sewa, Sufian Abdullah




