KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) — Unit milik penuh tidak langsung Uzma Bhd, Uzma Kuala Muda Sdn Bhd, memperoleh kemudahan pembiayaan Islam bernilai RM225 juta bagi projek loji fotovoltaik suria berskala besarnya (LSSPV).
Uzma dalam satu kenyataan bersama berkata, kemudahan pembiayaan itu diperoleh daripada Affin Islamic Bank Bhd dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd.
“Projek ini berada di bawah program Large Scale Solar 4@MEnTARI (LSS4@MEnTARI) kerajaan (dan) dana itu akan digunakan terutamanya untuk membiayai pembangunan dan pembinaan loji LSSPV 50MWac (megawatt arus ulang-alik).
“Kemudahan ini yang terletak di Bukit Selambau, Kedah, akan memanfaatkan tenaga solar untuk menjana elektrik bersih, yang seterusnya memberi sumbangan kepada matlamat tenaga boleh baharu Malaysia,” katanya.
Kumpulan itu berkata, sehingga akhir April 2023, projek LSS4 Kuala Muda Uzma telah siap 25 peratus.
Menurutnya, projek tersebut yang merentasi kawasan seluas 73.65 hektar, akan mempamerkan komitmen syarikat terhadap penyelesaian tenaga mampan serta usaha untuk mengurangkan jejak karbonnya dan menerajui penggunaan teknologi hijau dalam sektor tenaga Malaysia.
— BERNAMA