KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) — SkyWorld Development Bhd menyasar mengumpul hasil sebanyak RM166.4 juta daripada terbitan awam saham baharu sebagai sebahagian daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) susulan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 10 Julai, 2023.
Pelaksanaan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 208 juta saham baharu dan tawaran penjualan 192 juta saham sedia ada pada harga 80 sen sesaham, kata Skyworld dalam satu kenyataan bersempena pelancaran prospektus IPO hari ini.
Pemaju hartanah bandar itu berkata RM100 juta atau 60.1 peratus daripada hasil tersebut akan digunakan untuk membeli tanah bagi pembangunan.
Sebanyak 21.2 peratus dan 12 peratus lagi diperuntukkan bagi modal kerja untuk pembangunan projek dan pembayaran balik pinjaman bank, manakala baki 6.7 peratus selebihnya akan digunakan untuk perbelanjaan berkaitan IPO, katanya.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas Datuk Seri Ng Thien Phing berkata IPO itu berpotensi meningkatkan operasi perniagaannya, mewujudkan nilai kepada pemegang saham dan memberi manfaat bagi tempoh jangka panjang.
“Pada masa depan, kami menjangkakan pasaran hartanah berkembang dalam trajektori menaik selepas berdepan cabaran sejak dua tahun lepas. SkyWorld menyedari potensi yang belum lagi dimanfaatkan dan bersedia untuk merebut peluang berharga ini,” katanya.
Kumpulan itu berkata berdasarkan harga terbitan 80 sen sesaham dan modal saham diperbesarkan sebanyak satu bilion saham, permodalan pasaran dijangka berjumlah kira-kira RM800 juta semasa penyenaraian.
SkyWorld juga merancang mengisytiharkan dividen tahunan, bersamaan dengan 20 peratus daripada keuntungan selepas cukainya yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat secara disatukan.
Kenanga Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, penaja jamin dan ejen penawaran saham manakala Newfields Advisors Sdn Bhd ialah penasihat kewangan bagi pelaksanaan IPO itu.
Permohonan bagi bahagian terbitan awam dibuka hari ini dan akan ditutup pada 27 Jun, 2023, pukul 5 petang.
— BERNAMA