KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti (SC) merancang untuk memperluas pangkalan pelabur sofistikated dengan memberikan kelonggaran dalam pengiraan ambang individu bernilai bersih tinggi (HNWI), kata Pengarah Urusan Kamarudin Hashim.
Beliau berkata SC akan turut meningkatkan kriteria kelayakan pelabur sofistikated untuk mengambil kira pengetahuan dan pengalaman mereka selain memperluas penyertaan pelabur budiman dalam produk pasaran modal lain selain pasaran swasta serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
“Ini akan memastikan asas kategori pelabur menjadi langkah paling berkesan untuk mengkategorikan pelabur, yang akan membolehkan mereka diberikan tahap perlindungan kawal selia yang sesuai dan memudahkan pembentukan modal,” katanya.
Kamarudin berkata demikian dalam ucaptama pada Siri Pelabur Institusi Antarabangsa anjuran Persatuan Pengurus Aset Malaysia hari ini.
Selain memperluas kategori pelabur sofistikated, katanya SC akan turut membolehkan pengurus dana menawarkan dana asing kepada entiti bernilai bersih tinggi dan pelabur institusi dalam pasaran modal Malaysia.
“Ini akan dipermudahkan melalui pengenalan rangka kerja ‘skim pengecualian asing’ yang akan membolehkan pengendali dana asing yang merupakan syarikat berkaitan dengan pengurus dana dengan lesen SC untuk serah simpan dan melancarkan dana asing mereka.
“Selain meluaskan skop penawaran produk kepada pengurus dana, rangka kerja ini, yang dijangka dilancarkan pada akhir tahun, akan menambah lebih banyak kepelbagaian kepada pilihan dana dalam pesisir dalam pasaran modal domestik,” kata Kamarudin.
Walaupun fasa pertama rangka kerja ‘skim pengecualian asing’ akan menyasarkan pelabur institusi dan entiti bernilai bersih tinggi, SC turut mengkaji fasa liberalisasi yang seterusnya untuk merangkumi HNWI selain memastikan kawalan disediakan untuk kesetaraan antara pengurus dana domestik dan asing.
“Ini memerlukan rundingan dan libat urus yang erat dengan pihak berkepentingan industri, yang kami jangka pada 2024,” kata Kamarudin.
— BERNAMA