KUALA LUMPUR, June 15 (Bernama) — Fraser dan Neave Holdings Bhd (F&NHB) menceburi perniagaan susu segar huluan susulan majlis pecah tanah ladang tenusu bersepadu kumpulan itu di Gemas, Negeri Sembilan, dengan pelaburan sekurang-kurangnya RM1 bilion untuk pembangunan Fasa 1 ladang itu.
Ladang itu akan meletakkan kumpulan tersebut di kedudukan terbaik untuk menjadi antara pengeluar susu terbesar di Malaysia apabila mencapai tahap pengeluaran penuh Fasa 1 dengan penghasilan 100 juta liter susu segar.
Ladang seluas 2,726 hektar itu akan menempatkan sebanyak 20,000 ekor lembu susu yang akan menghasilkan 200 juta liter susu segar setahun untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Encik Lim Yew Hoe berkata mengoperasikan ladang tenusu bersepadu akan menghasilkan integrasi menegak bagi perniagaan dan operasi F&NHB.
“Ia bermakna mengurangkan pergantungan kami kepada susu import untuk pengeluaran dan pengagihan hiliran, dan juga akan membantu mengurangkan kos seliter susu segar, yang memberi manfaat kepada pengguna Malaysia.
“Kami juga menyasar untuk mengeksport susu segar, dan berpotensi menjadikan Malaysia sebagai pengeksport bersih susu segar pada masa hadapan.” katanya dalam satu kenyataan bersama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini.
F&NHB berkata, barisan pemprosesan dan pembungkusan kilang itu akan ditempatkan bersebelahan dengan pusat pemerah susu bagi membekalkan susu segar berkualiti pada harga yang berpatutan kepada para pengguna Malaysia.
Selain itu, Ladang tersebut juga membantu menggalakkan pertumbuhan industri pertanian tempatan dengan memupuk tenaga kerja yang mahir dan menjana peluang pekerjaan dalam industri tenusu dan pertanian.
“Kami juga menyasarkan untuk mengeksport susu segar, dan berpotensi menjadikan Malaysia sebagai pengeksport bersih susu segar pada masa hadapan,” kata Lim.
Majlis pecah tanah itu dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Haji Aminuddin bin Harun dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan MIDA Sivasuriyamoorthy Sundara Raja dan Pengerusi F&NHB, Tengku Syed Badarudin Jamalullail.
Sementara itu, Lim berkata, F&NHB turut merancang untuk membuka ladang tanaman makanan ternakan di tempat yang sama.
Langkah ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran fidlot bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan haiwan yang diimport, katanya.
Menurutnya, Malaysia kini mengimport hampir 100 peratus makanan haiwan dari Brazil dan Argentina.
— BERNAMA




