KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Pemaju perumahan mampu milik dan perbandaran bersepadu, Lagenda Properties Bhd, telah dimasukkan sebagai konstituen Indeks FTSE4GOOD Bursa Malaysia dan Indeks FTSE4GOOD Bursa Malaysia Syariah (F4GBMS).
Pengarah Urusan Lagenda Properties Datuk Jimmy Doh berkata Indeks FTSE4GOOD Bursa Malaysia merupakan penanda aras yang diiktiraf secara meluas untuk prestasi dan pendedahan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah menghasilkan kemajuan yang mantap dan baru-baru ini telah mengeluarkan rangka kerja kemampanan, pelan hala tuju, prestasi dan menetapkan pelbagai sasaran untuk mengemudi kemajuan ESG kami.
“Kami akan terus menyepadukan kemampanan ke dalam strategi perniagaan kami, menggunakannya sebagai proses untuk membuat keputusan kami dan memupuk budaya tanggungjawab yang merentas semua peringkat organisasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Indeks FTSE4GOOD adalah untuk mengukur prestasi syarikat senaraian awam yang menunjukkan amalan ESG yang kukuh berbanding penanda aras antarabangsa, manakala Indeks F4GBMS direka untuk menjejak konstituen dalam Indeks FTSE4GOOD yang patuh syariah menurut metodologi saringan Majlis Penasihat Syariah.
— BERNAMA




