KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — Capital A Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM57.10 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2023 (S1 2023), berbanding kerugian bersih RM903.79 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Hasil melonjak kepada RM2.53 bilion daripada RM811.74 juta sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Capital A berkata hasil yang meningkat itu disebabkan oleh permintaan kukuh daripada perjalanan domestik dan antarabangsa, seiring dengan syarat-syarat perjalanan dan kemasukan yang dilonggarkan.
“Pada suku pertama, sebanyak 81 peratus daripada pendapatan kumpulan disumbangkan oleh segmen penerbangan, 5.0 peratus adalah hasil daripada perniagaan logistik, 9.0 peratus daripada perniagaan digital dan lain-lain, manakala baki 4.0 peratus disumbangkan oleh perniagaan kejuruteraan.
“Hasil daripada Super App adalah lebih dua kali ganda berbanding hasil pada S1 2022, manakala BigPay menyaksikan peningkatan hasil sebanyak 79 peratus, yang disebabkan oleh permintaan kukuh daripada perjalanan dan peningkatan dalam pangkalan pengguna serta perbelanjaan pelanggan,” katanya.
— BERNAMA