KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) — Keuntungan bersih Bank Islam Malaysia Bhd meningkat sebanyak 11.5 peratus kepada RM118.09 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 daripada RM105.92 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Hasil bagi suku tersebut melonjak 42.6 peratus tahun ke tahun kepada RM1.10 bilion daripada RM773.97 juta sebelumnya.
“Pendapatan bersih kumpulan bertambah baik berikutan pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih tinggi, yang melonjak sebanyak RM60.0 juta atau 132.4 peratus, dipacu oleh pendapatan pelaburan yang lebih tinggi dan keuntungan bersih daripada urus niaga pertukaran asing.
“Pembiayaan kasar meningkat 10.7 peratus tahun ke tahun kepada RM66.2 bilion, manakala deposit pelanggan dan akaun pelaburan meningkat sebanyak 14.3 peratus tahun ke tahun atau RM9.7 bilion kepada RM77.8 bilion,” kata bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Prestasi yang memberangsangkan itu disumbang oleh jumlah akaun semasa dan simpanan serta pertumbuhan sihat akaun pelaburan transaksi sebanyak 25.9 peratus tahun ke tahun atau RM6.8 bilion kepada RM33.0 bilion.
Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed berkata pada akhir Mac 2023, jumlah aset Bank Islam berjumlah RM92.1 bilion, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 14.4 peratus, didorong oleh pertumbuhan dalam kedua-dua pembiayaan dan sekuriti pelaburan.
“Kedudukan modal dan mudah tunai kami yang sihat menunjukkan bahawa momentum pertumbuhan dan asas kami kekal kukuh,” katanya.
Sehingga 31 Mac 2023, nisbah pembiayaan terjejas kasar bank ialah 1.37 peratus; lebih baik daripada purata industri sebanyak 1.75 peratus.
Mengenai prospeknya, Bank Islam berkata fokus utamanya untuk 2023 adalah untuk menguruskan mudah tunai atau kos pembiayaan dan meningkatkan keuntungannya.
“Selain usaha berterusan untuk meningkatkan akaun semasa dan simpanan serta akaun operasi, inisiatif lain juga sedang dilihat untuk mengekalkan margin pendapatan bersih,” katanya.
— BERNAMA




