KUALA TERENGGANU, 28 Mei (Bernama) — Dua loji jana kuasa biogas pertama di Terengganu yang dibina melalui usaha sama antara anak syarikat kerajaan negeri, TDM Bhd dan Concord Group telah beroperasi sepenuhnya dan berhasil membekalkan dua megawatt (MW) kuasa terus ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pengerusi TDM Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata dua loji yang dibina dengan kos RM50 juta itu telah beroperasi sepenuhnya pada Mac dan Jun tahun lalu dan berpotensi menghasilkan 29,784,000 kilowatt jam (kWj) tenaga boleh diperbaharui setiap tahun.
Beliau berkata ia menggunakan sistem lagun tertutup (covered lagoon) di kilang sawit Kemaman dan Sungai Tong, Setiu milik TDM.
“Melalui perjanjian ‘Built, Operate, Own, Transfer’ (BOOT) yang dimeterai pada 2019, TDM dengan kerjasama Concord telah membangun, mengendali dan mengekalkan penjanaan kuasa berasaskan tenaga yang boleh diperbaharui.
“Kami (TDM Bhd) sentiasa mencari ruang untuk mempertingkat kualiti perniagaan tanpa mengabaikan aspek pemeliharaan kelestarian alam sekitar,” katanya selepas Majlis Perasmian Loji Jana Kuasa Biogas TDM di Padang Kubu di Kemaman, hari ini.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan perasmian majlis tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Eksekutif Concord Group, Tan Sri Mohd Hussin Abd Hamid.
Menurut Tengku Farok Hussin, projek itu juga adalah antara strategi TDM dalam mengoptimumkan pengurusan rawatan efluen kilang sawit dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang boleh mencemar alam sekitar.
Selain itu, katanya, pelaksanaan insiatif teknologi hijau juga membantu mengukuhkan sistem rawatan olahan kilang yang sedia ada supaya tidak menjejaskan persekitaran.
“Kewujudan loji biogas akan meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui bagi menjamin bekalan negara pada masa hadapan.
“Ia turut mendapat pengiktirafan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” katanya. — BERNAMA




