KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Sime Darby Property Bhd merancang untuk melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.3 bilion pada suku kedua tahun kewangan 2023 berjumlah 1,557 unit.
Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Azmir Merican berkata sebanyak 56 peratus daripada produk baharu adalah kediaman bertanah, pembangunan bertingkat (24 peratus) dan projek perindustrian (17 peratus).
“Terdapat pembangunan perumahan bertanah bernilai kira-kira RM721 juta dalam GDV, projek bertingkat bernilai RM300 juta, unit perindustrian RM220 juta dan projek komersial bernilai RM45 juta. Semua pelancaran adalah mengikut jadual,” katanya kepada pemberita pada taklimat media secara maya mengenai keputusan kewangan suku pertama kumpulan hari ini.
Projek kediaman akan dibangunkan di City of Elmina, Bandar Bukit Raja, Serenia City dan Nilai Impian manakala pembangunan bertingkat akan dilancarkan di Putra Heights dan Subang Jaya City Centre. Projek perindustrian akan melibatkan projek yang terletak di Elmina Business Park dan Bandar Universiti Pagoh Industrial Park.
Azmir berkata kumpulan optimis mengenai industri untuk mencatatkan pertumbuhan pada tahun ini.
Bagaimanapun, katanya pemaju hartanah memantau impak daripada kenaikan kadar faedah dan alam sekitar.
“Kita berada dalam persekitaran di mana kami melihat bank pusat cuba untuk menaikkan kadar faedah, memperlahankan pertumbuhan. Bagaimanapun, kami berada di sini untuk menjual rumah dan pengguna sensitif terhadap kenaikan harga,” katanya.
Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Datuk Lai Shu Wei berkata dengan kadar pembelian melebihi 85 peratus untuk pelancaran suku pertama, terdapat momentum jualan.
“Kami tidak melihat kelembapan tetapi kami berhati-hati mengenai jenis produk yang kami lancarkan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Hartanah Datuk Mohd Sohimin Mohd Alayedin berkata pemaju melihat kemajuan tapak yang baik dalam persekitaran masalah kekurangan buruh yang semakin baik.
“Kebanyakan buruh kami, kira-kira 60 hingga 70 peratus, telah berada di tapak. Ia belum 100 peratus lagi tetapi ini akan bertambah baik menjelang akhir tahun.
“Kami juga melihat banyak peningkatan untuk kos bahan. (Harga) kebanyakan bahan utama telah stabil kecuali simen dan keluli konkrit, yang masih tinggi berbanding tahun lepas,” katanya.
Pada suku pertama tahun kewangan 2023, keuntungan bersih Sime Darby Property naik kepada RM60.67 juta daripada RM51.84 juta pada suku tahun sama pada tahun lepas dipacu oleh unit pembangunan hartanahnya.
Perolehan meningkat kepada RM685.33 juta pada suku tahun tersebut berbanding RM480.33 juta sebelum ini, didorong oleh jualan kumpulan yang lebih tinggi sebanyak RM688.5 juta dan pemulihan dalam kekurangan buruh.
Sebanyak 55 peratus daripada jualan dijana daripada produk perindustrian berbanding 25 peratus pada tahun kewangan 2022.
Oleh itu, kumpulan memanfaatkan segmen perindustrian sebagai saluran baharu untuk pertumbuhan selain mengekalkan jualan kediaman yang kukuh pada masa depan.
— BERNAMA




